TERENGGANU FC (TFC) menjadi pasukan terbaru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memulakan latihan dengan menjalankan ujian saringan COVID-19, hari ini.

Menurut pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahya, 'swab test' itu dibuat terhadap kesemua pemain, jurulatih dan barisan pegawai TFC sebelum mereka kembali ke padang latihan.

Menjangkakan keputusan ujian akan diperolehi satu atau dua hari lagi, Shahrizal berkata dia yakin skuad TFC tiada masalah mengikut arahan dan SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Malah disiplin ditunjukkan barisan pemain sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 lagi membuktikan mereka sentiasa memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Semua pemain utama telah menjalani ujian saringan COVID-19 ini kecuali pemain import, Faris Ramli, yang masih berada di negaranya, Singapura.

"Begitu juga ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, penolongnya, Subri Sulong, dan barisan jurulatih yang lain.

"Proses seterusnya ialah menunggu keputusan ujian dikeluarkan dan menghantar kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk diberi kebenaran berlatih mengikut SOP," jelasnya.

Selain ujian saringan atau 'swab test' itu, MFL pada Khamis mengumumkan tiga langkah lain sebelum pasukan Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan menjalani latihan.

Antaranya melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP, menjalankan latihan di pusat latihan tertutup serta mendaftarkan venue tersebut.

Sumber Facebook PBSNTRG