Thailand mencerahkan peluang ke final Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 edisi ke-41 selepas menundukkan Singapura 1-0 pada perlawanan kedua di Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

Selepas hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar pada aksi pembukaan Sabtu lepas, anak didik Kairung Threejagsang melakukan serangan bertali arus ke kubu Singapura sebaik sahaja pengadil perlawanan, Win Htut dari Myanmar meniupkan wisel permainan.

Skuad 'Gajah Perang' bawah 23 tahun itu itu mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol pembukaan namun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Singapura, Neezam Abdul Aziz.

Kekebalan Neezam bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Pakorn Parmpak berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-34 hasil sepakan lambung menarik dari sebelah kiri padang.

Skuad Thailand terus 'bernafsu' untuk menggandakan jaringan namun skuad Singapura bawah 23 tahun itu berjaya menyerap asakan berkenaan sehinggalah berakhirnya babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, pengendali skuad Singapura V. Sundramoorthy melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memantapkan jentera tengah pasukan berkenaan.

Mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan kapten, Muhd Izzdin Shafiq Yaacob pada minit ke-48 namun sepakan percumanya sekadar melepasi pintu palang gol pasukan Thailand.

Pasukan Seberang Tambak itu kemudian bertambah parah selepas Sundramoorthy diperintah meninggalkan bangku simpanan pemain oleh pegawai pertandingan kerana membantah keputusan pengadil, Win Htut.

Kesempatan itu gagal digunakan oleh skuad 'Gajah Putih' junior itu untuk menambah jaringan sehinggalah berakhirnya perlawanan.

Thailand akan melengkapkan aksi peringkat awal dengan menentang Malaysia Bawah 23 tahun manakala Singapura akan bertemu dengan Myanmar.

Perlawanan melibatkan Malaysia bertemu Thailand akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala aksi antara Singapura dan Myanmar akan berlangsung di Stadium Mini Temerloh.

Kedua-dua perlawanan ini akan bermula pukul 8.45 malam, Rabu ini.