Perak tidak bercadang memberi cuti khas peristiwa pada Isnin ini sekiranya pasukan bola sepak Perak berjaya merangkul Piala FA di Stadium Bukit Jalil pada malam esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana kerajaan telah mengisytiharkan Selasa ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Perak perlu bekerja lebih masa jadi tidak perlu cuti pada Isnin ini kerana pada hari Ahad nanti semua orang sempat untuk berehat sambil menyambut kejayaan sekiranya skuad The Bos Gaurus (TBG) menang," katanya.

Beliau, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan pasukan bola sepak Perak di Hospital KPJ di sini sebelum mereka memulakan perjalanan ke ibu negara pagi ini.

Ahmad Faizal berkata, seluruh kerabat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijangka berkenan berangkat ke perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Perak dan Kedah di Stadium Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, perlawanan itu lebih istimewa dengan keberangkatan Sultan Perak dan seluruh kerabat termasuk Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Saya juga akan berusaha untuk hadir ke Stadium Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad TBG walaupun sedang dirawat di hospital ini.

"Saya berharap kesihatan saya akan pulih seperti sediakala kerana saya perlu menghadiri pelbagai acara penting termasuk Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan saya juga akan menunaikan haji pada 5 Ogos nanti," katanya.

Mengulas mengenai kesihatannya, Ahmad Faizal berkata keadaan bengkak di kakinya yang terkena jangkitan kuman pada tisu (cellulitis) yang serius telah semakin bertambah baik.

BACA: MB Perak bertopang ke DUN akibat ekzema

Pada Selasa lepas, Ahmad Faizal menjalani pembedahan dan beliau perlu terus berada di hospital berkenaan bagi menjalani rawatan antibiotik selain dinasihatkan berehat selama lima hari bagi meredakan bengkak pada kaki yang terkena jangkitan.

Ahmad Faizal turut menarik perhatian apabila menyebut jumlah bonus untuk pasukan bola sepak Perak yang akan diberikan jauh lebih banyak berbanding jumlah bonus yang diberi selepas memenangi semi final Piala FA lepas sekiranya berjaya mengalahkan pasukan Kedah.

Pada 30 Jun lepas, Kerajaan Negeri Perak mengumumkan bonus berjumlah RM150,000 kepada pasukan bola sepak negeri ini kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2019.

Beliau turut menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak beremosi sehingga menyebabkan pergaduhan.

-- BERNAMA