Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi amaran bahawa alasan tiada dana untuk disalurkan kepada atlet yang akan membawa maruah negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lagi boleh diguna pakai.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kelengkapan atlet yang merupakan sebahagian daripada persiapan rapi mereka menuju ke temasya berprestij itu harus diberi perhatian.

Katanya, selama ini, kebajikan atlet kebangsaan amat dititikberat dalam memastikan para atlet mampu beraksi cemerlang ketika mewakili negara.

Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan, katanya, mengambil serius perkara yang melibatkan dana termasuk setiap keperluan atlet bagi persediaan mereka mewakili negara.

Syed Saddiq secara peribadi juga akan memantau keperluan atlet yang bakal berjuang meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Hujah kita tiada dana itu tidak boleh digunakan lagi. Saya akan buat banyak spotcheck, jumpa setiap persatuan atlet-atlet.

"Kalau saya dengar lagi ada atlet khususnya yang telah pun melayakkan diri ke sukan Tokyo Olympic dan memohon perkara kecil tetapi tidak diluluskan, tidak dilaksanakan kerana tidak ada duit, I will hold you accountable...this is a warning...,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat 2020 kepada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menyampaikan sijil kepada 15 penerima Anugerah Khas Pekerja Terbaik kementeriannya.

Tahun ini, beberapa atlet sukan negara akan beraksi di Olimpik Tokyo 2020 dalam misi perjuangan mereka untuk melakar sejarah meraih pingat emas Olimpik pertama negara.

Antara atlet yang akan menyahut cabaran di kejohanan sukan terbesar dunia itu ialah Farah Ann Abdul Hadi, Khairulnizam Mohd Affendy, Leong Mun Yee, Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Temasya Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 dan akan disertai seramai 15, 490 atlet Olimpik dan Paralimpik dari seluruh dunia.