KUALA LUMPUR: Tokoh korporat Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000 kepada Pertubuhan Nicol David (NDO) dan bekas pemain skuasy negara Kenneth Low.

Mohamad Salim berkata NDO yang dikendalikan legenda skuasy negara Datuk Nicol David, menerima RM10,000 untuk pembangunan program yayasan itu, manakala Kenneth yang diwakili Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, menerima RM5,000 untuk rawatan perubatan.

Kenneth tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

"Masa saya dengar Kenneth ada masalah kesihatan saya fikir boleh bantu sikit kerana dia salah seorang pemain skuasy kita yang baik.

"Bagi NDO, saya mahu melihat lebih ramai juara dunia dan berharap mereka boleh melahirkan seseorang seperti Nicol," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nicol berterima kasih atas sumbangan dan sokongan daripada Mohamad Salim kerana misi NDO adalah memperkasakan pelajar menerusi program sukan dan pendidikan, khususnya skuasy dan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Saya benar-benar mahu memberi mereka apa yang boleh diperolehi daripada sukan dan buat masa ini kami mempunyai 114 kanak-kanak, jadi setiap sokongan kini penting, menggunakan skuasy sebagai alat, kami berharap untuk meningkatkan kesedaran mengenai yayasan ini dan meyakinkan mereka bahawa sukan boleh mengubah kehidupan mereka," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Kenneth yang pernah menduduki ranking empat terbaik Asia dan ke-38 dunia, kini bekerja sebagai petugas pembersihan serta mengalami masalah kesihatan.

Dia dipercayai mengalami strok yang menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, masalah kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek, selain tidak mempunyai wang untuk menjalankan ujian kesihatan.

Mohamad Salim merupakan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan sumbangan itu merupakan sumbangan peribadi beliau.

-- BERNAMA