KUALA LUMPUR: Beregu wanita badminton Indonesia, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu berjaya menyumbang pingat emas pertama kepada negara itu dalam temasya Olimpik Tokyo 2020.

Pasangan tersebut meraih pingat itu selepas mengalahkan pasangan China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan dalam perlawanan akhir pada Isnin.

Bersaing di Musashino Forest Sports Plaza, pasangan Indonesia itu menang menerusi dua set 21-19, 21-15 dalam tempoh 55 minit.

Ini juga merupakan emas pertama bagi Indonesia menerusi acara beregu tersebut.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam perkongsian di media sosial beliau akui kemenangan itu merupakan hadiah kepada sambutan Hari Kemerdekaan republik itu.

“Penantian emas itu berakhir sudah hari ini.

“Beregu wanita Indonesia, Greysia Polii/Apriyani Rahayu berjaya meraih pingat emas dalam Olimpik Tokyo 2020 dalam perlawanan yang sukar dan mendebarkan.

“Kemenangan ini menjadi hadiah ulang tahun kemerdekaan Indonesia, dua minggu lagi. Selamat dan terima kasih Greysia/Apriyani!” kata Jokowi.