PEMAIN golf negara, Kelly Tan, gusar seandainya saingan hari keempat acara wanita akan dibatalkan berikutan cuaca buruk yang dijangka melanda Saitama hari ini.

Pemain wanita nombor satu negara itu sedar masih belum ada sebarang keputusan muktamad daripada pihak penganjur dan berharap ia tidak akan berlaku memandangkan dia sudah mula mendapatkan rentak di Kelab Golf Kasumigaseki.

Dalam saingan pusingan ketiga semalam, Kelly merekodkan tiga birdie di lubang pertama, ke-12 dan 14 tetapi merekodkan empat bogey untuk mencatatkan 72 pukulan satu di atas par.

Dia kini menduduki tangga ke-48 keseluruhan dengan 218 pukulan lima di atas par.

"Sudah pasti saya mahu bermain lebih daripada 60 lubang di sini kerana itulah sasaran saya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Saya harap kami dapat bermain esok (Sabtu) tetapi mereka ada bercakap bahawa terdapat kemungkinan saingan akan ditamatkan setakat 54 lubang dan hari ini (Jumaat) mungkin menjadi saingan terakhir sekiranya cuaca tidak baik esok.

"Saya harap segala-galanya berlangsung baik esok dan saya dapat meneruskannya."

Sebagai rekod, Kelly menamatkan saingan di Rio lima tahun lalu di tempat ke-51 daripada keseluruhan 61 peserta bertanding.