Toldi, 37, berjaya menjuarai kategori lelaki dengan catatan masa lapan jam 10 minit 23 saat (s) manakala Tim Van Berkel dari Australia (8:12:38s) di tempat kedua dan tempat ketiga peserta Jerman, Andreas Dreitz (8:18:07s).
Bagi kategori wanita, Hollioake, 35, menjuarai kejohanan dengan catatan masa 9:13:07s, tempat kedua peserta Australia, Katie Remond (9:30:00s) dan tempat ketiga peserta Itali, Federica De Nicola (9:42:05s) .
Gembira dengan kejayaan menjuarai Ironman Malaysia yang merupakan pertama buatnya, Todi berkata ia adalah hasil daripada penat-lelahnya berlatih tanpa putus asa.
"Saya berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini yang saya impikan sejak sekian lama. Jadi, saya curahkan seluruh tenaga saya pada hari ini dan cabaran hari ini memang sukar terutama dari segi mental hingga saya perlu paksa diri ke tahap yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini, namun saya sangat gembira dengan hasilnya.
"Ini pertandingan paling sukar yang pernah saya sertai tetapi ia cukup menakjubkan. Cuaca dan keadaannya amat sukar...sunggguh mencabar dan saya tidak pernah bertanding dalam keadaan panas seperti ini," katanya kepada media di sini semalam.
Toldi berkata untuk itu beliau terpaksa menggunakan semua stesen bantuan yang ada termasuk meletakkan ais atas kepala, minum air dan garam selain memberi tumpuan kepada penghidratan bagi membantu tubuhnya terus berasa segar.
Beliau juga mengakui berenang merupakan disiplin paling sukar untuk diselesaikan kerana perlu fokus untuk berada di hadapan meskipun terdapat beberapa atlet yang berjaya keluar dari laut terlebih dahulu.
"Bagaimanapun, saya berjaya membuat pertukaran yang sangat pantas hingga dapat memulakan kayuhan dengan beberapa pelumba yang mendahului. Kami dalam kumpulan empat orang dan saling bekerjasama untuk menjarakkan diri dengan kumpulan kedua. Saya berasa lebih yakin pada disiplin berbasikal dan larian.
"Saya juga terpaksa bersaing sengit dengan Berkel, kami berlari bersama semasa maraton dan saya perlu tumpu pada diri sendiri selain sukar untuk mengekalkan rentak. Ia adalah 'persaingan' mental dan saya bernasib baik kerana lebih bertenaga pada pusingan terakhir dan terus berlari dengan sepenuh hati," katanya.
Sementara itu, Hollioake berkata kejuaraan semalam sangat bermakna buat dirinya kerana ini merupakan tahun pertama dia sebagai atlet profesional dan satu kejutan besar apabila dapat melakukannya dengan baik sekali gus berharap untuk merangkul lebih banyak kejuaraan selepas ini.
Kejohanan Ironman Malaysia melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal sejauh 180km dan larian sejauh 42.2km, manakala Ironman 70.3 melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9km, berbasikal sejauh 90km dan larian sejauh 21.1km.
-- BERNAMA