SUKAN
Tottenham ikat Mohammed Kudus enam tahun
KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur, mengesahkan perpindahan pemain tengah Ghana, Mohammed Kudus, dari West Ham United dengan nilai mencecah £55 juta pound tertakluk kepada kelulusan permit kerja.
Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang selama enam tahun sehingga Jun 2031, meskipun memiliki klausa pelepasan sebanyak £85 juta pound bersama The Hammers.
West Ham difahamkan pada awalnya menolak tawaran pembukaan £50 juta pound daripada Spurs minggu lalu sebelum akhirnya bersetuju dengan nilai perpindahan semasa.
Kudus telah mencatatkan 65 penampilan dalam saingan EPL bersama West Ham, menyumbang 13 gol dan sembilan bantuan jaringan (assist) sejak menyertai kelab tersebut dari Ajax Amsterdam dengan yuran perpindahan £38 juta pound pada Ogos 2023.
Beliau membuat penampilan sulung liga sebagai pemain gantian menentang Luton Town sebelum meledak gol pertamanya dalam aksi Liga Europa beberapa minggu kemudian.
Kudus menamatkan musim sulungnya dengan cemerlang, merekodkan 14 jaringan dan sembilan assist dalam semua kejohanan.
Sementara itu, Kudus menyatakan keterujaannya untuk menyertai kelab utara London berkenaan.
“Saya sentiasa mahu beraksi di tahap tertinggi. Dengan sejarah kelab ini, saiznya serta peluang bermain di Liga Juara-Juara, ini satu detik besar buat saya.
“Saya amat gembira dan tidak sabar untuk bermula,” katanya.
Sekurang-kurangnya enam kelab elit Eropah difahamkan turut berminat mendapatkan Kudus, namun beliau memilih perpindahan ke Tottenham.
Antara faktor utama yang mendorong keputusannya ialah pengaruh pengendali baharu The Lilywhites, Thomas Frank, yang menggantikan Ange Postecoglou bulan lalu.
“Daripada latar belakang beliau dan melihat betapa ramai pemain muda yang berjaya diasuhnya menjadi bintang besar, itu antara sebab utama saya ingin bekerja di bawah kendalian beliau,” kata Kudus.
Dalam perkembangan berkaitan, Tottenham juga dilaporkan hampir melengkapkan satu lagi perpindahan besar melibatkan pemain tengah Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White, yang dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan pada Jumaat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami