KUALA TERENGGANU: Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) mempertaruhkan tiga muka baharu bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata tiga tonggak baharu itu terdiri daripada dua pelumba import iaitu Andreas Miltiadas dari Cyprus dan Merhawi Kudus Ghebrenedhin dari Eritrea yang pakar dalam pendakian.

Beliau berkata pelumba tempatan yang dibawa masuk pula ialah bekas atlet Team Sapura Cycling, Nur Aiman Rosli menggantikan Mohd Shahrul Mat Amin.

"Lima pelumba import yang dikekalkan ialah Aiman Cahyadi, Jesse Ewart, Youcef Reguigui, Metkel Eyob dan Anotalii Budiak yang sudah tiga musim bersama TSG.

"Selain itu lapan pelumba tempatan yang turut membarisi TSG musim ini ialah Harrif Saleh, Irwandie Lakasek, Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan, Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhe Yie, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang juga kapten pasukan," katanya pada majlis pelancaran pasukan TSG 2024 di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata TSG menamatkan tirai musim 2023 dengan cemerlang apabila mengekalkan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu turut melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pasukan benua terbaik dunia selepas mengenepikan 178 pencabar lain.

"Malah kita juga berjaya memperbaiki ranking dunia dengan naik ke kedudukan ke-29 daripada 215 pasukan berbanding tempat ke-30 musim sebelumnya. Ini adalah pencapaian terbaik TSG sejak penubuhannya pada 2011," katanya yang menetapkan sasaran lebih tinggi pada musim ini.

Sementara itu Che Ku Mohd Izmuddin berkata TSG akan membuka tirai 2024 dengan perlumbaan bertaraf 2.2, Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 26 hingga 31 Jan ini, dan enam pelumba akan dipilih menyertainya di bawah bimbingan ketua jurulatih, Mohd Saiful Anuar Aziz.

"Kita akan melalui tujuh siri perlumbaan termasuk di Turkiye, Arab Saudi, Oman dan UAE sepanjang Jan dan Feb. Untuk tahun ini kita terima penajaan berjumlah RM10.84 juta, berkurang sedikit daripada tahun lepas kerana masalah kelembapan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA