LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengharapkan kelab dan kerajaan negeri mengambil peluang menukar rumput di setiap stadium negeri seperti yang telah ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penukaran rumput itu bukan sahaja akan memberikan banyak kesan positif kepada Liga Malaysia tetapi juga melahirkan pemain berkualiti untuk pasukan Harimau Malaya.

“Kita mengimpikan padang yang baik, tidak kira Cow Grass, Bermuda atau Zeon Zoysia. Jadi, apabila waktu hujan tidak ada air bertakung dan perlawanan dapat diteruskan.

“Apabila perlawanan tergendala, ia akan menyebabkan kos meningkat kepada pasukan terlibat.

“Selain itu, kita perlukan padang yang baik kerana dalam liga inilah ia dapat melahirkan pemain untuk Harimau Malaya. Taktikal dan perlawanan yang baik perlu padang cantik, selain mengurangkan kecederaan pemain,” katanya.

Pada Selasa, KBS menawarkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri untuk naik taraf saliran dan penanaman rumput baharu.

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berbesar hati mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraan.

Menurutnya, MFL turut mengucapkan terima kasih atas kesudian Tunku Ismail membantu kelab dalam menaik taraf rumput tersebut.

“Saya amat berterima kasih dengan Tunku Ismail kerana cukup prihatin dengan masalah yang dialami oleh kelab-kelab lain khususnya dalam menanggung kos penyelenggaraan padang.

“Tunku Ismail bertitah kepada semua yang hadir dalam mesyuarat itu bahawa dalam padang kita lawan tetapi di luar padang kita perlu bekerjasama.

“Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Tunku Ismail adalah sesuatu yang akan memberi impak besar kepada Liga Malaysia,” katanya. - Sinar Harian