Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, yang sering mengatakan impiannya ialah untuk menjadi pemain bola sepak profesional, akan menghabiskan beberapa hari mengadakan latihan dengan Borussia Dortmund, kelab Jerman itu mengesahkan pada Ahad.

Akhbar The Guardian Britain memetik juara Olimpik sembilan kali itu sebagai berkata, beliau telah berhubung dengan jurulatih kelab itu bagi menyertai latihan selama beberapa hari dan kemudian "melihat apa yang berlaku".

"Ini bukan satu gurauan, atau satu gimik pemasaran," kata CEO kelab itu, Hans-Joachim Watzke, kepada majalah sukan online Jerman, Kicker.

"Ia telah diputuskan agak lama juga," kata beliau, sambil menambah bahawa idea itu pernah dibangkitkan pengeluar pakaian sukan Puma, rakan kongsi korporat pasukan itu dan Bolt.



"Bos Puma, Bjoern Gulden, yang juga ahli lembaga seliaan kami, memberitahu saya beberapa minggu lalu yang Usain telah bertanya sekiranya dia boleh berlatih dengan kami," kata Watzke.

"Saya katakan, sudah pasti, tidak ada masalah langsung... Kami suka, ia satu penghormatan untuk kami."

Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan untuk Bolt menyertai latihan itu, kata Watzke.

Beliau turut menolak kemungkinan Bolt menyertai pasukan itu sebagai pemain bola sepak profesional, mengatakan "ini sesuatu yang kita tidak perlu bincangkan" kepada Kicker.

Bolt sering menyatakan impiannya untuk bermain bola sepak, terutamanya untuk Manchester United, dan memberitahu The Guardian sekali lagi, yang menyertai kuasa besar Liga Perdana Inggeris itu sesuatu yang pastinya "epik".