KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menerima jersi baharu pasukan bola sepak negara yang disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, pada aksi kedua Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Sabtu.

FAM dalam satu hantaran di Facebooknya menyatakan pemberian jersi skuad Harimau Malaya yang lengkap dengan set nama dan nombor itu, sebagai tanda penghargaan FAM kepada Mohd Ali yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap bola sepak negara.

Mohd Ali turut menyaksikan dan memberi sokongan kepada pasukan negara bimbingan Kim Pan Gon yang menewaskan Laos 5-0, pada pertembungan Sabtu.

Turut hadir pada perlawanan dihadiri hampir 30,000 penonton itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Hamid.

Selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata.

Pasukan negara akan membuat perhitungan menentang Vietnam pada perlawanan ketiga di Stadium Nasional My Dinh di sini, Selasa depan sebelum menerima kunjungan Singapura (3 Jan) di Bukit Jalil pada aksi kumpulan terakhir dalam usaha memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA