Bekas kapten Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Razak mengumumkan persaraannya selepas kontraknya tidak disambung.

Menerusi video yang tular di media sosial, suami kepada pelakon Ayu Raudhah itu dilihat menangis dan berkata ia bukanlah pengakhiran yang diidamkan. Sekali gus membuatkan ramai penyokongnya sebak.

Bagaimanapun, Zaquan menjelaskan tangisannya itu bukan kerana ditamatkan kontrak tetapi perkataan 'bersara'.

"Mungkin ada orang tak faham saya menangis bukan sebab tak boleh terima (kontrak tak disambung) tapi sebab perkataan keluar daripada mulut saya iaitu 'bersara', perkataan paling sedih buat semua pemain bola sepak sebab sukan ini adalah jiwa saya.

"Saya menangis bukan kerana kontrak tak disambung, saya percaya pada rezeki Allah. Saya duduk kat rumah pun ada rezeki juga. Saya menangis tu kerana sayangkan dunia bola sepak saya.

"Saya doakan yang terbaik untuk pasukan bola sepak Negeri Sembilan, apa yang saya boleh bantu daripada pengalaman insya-Allah saya boleh bantu dari belakang," ujarnya kepada Gempak.

Zaquan ditemui pada majlis Grand Iftar bersama asnaf anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Isnin.
 
Tambah Zaquan, dia akan mempertimbangkan beberapa tawaran lain termasuk pilihan untuk berkecimpung dalam kejurulatihan bola sepak.

"Perkataan bersara dah keluar daripada mulut saya, maksudnya saya akan bersara daripada bermain bola sepak tapi mungkin saya boleh ke bidang kejurulatihan. Untuk ke arah itu saya perlu mula balik dari bawah. Saya perlu fikirkan faktor kewangan juga dan masih mempertimbangkan.

"Apapun, bola sepak tetap dalam hati saya," ujarnya.

Akuinya, beberapa tawaran kontrak baharu diterima daripada pasukan lain, namun dia memilih untuk membantu isterinya berniaga buat masa sekarang.

"Ada juga pasukan lain yang tawarkan saya kembali beraksi tapi saya perlu fikirkan masa depan sebab tawaran itu melibatkan lokasi jauh.

"Saya perlu berbincang dengan isteri sebab apabila dah bukan pemain bola sepak gaji akan berbeza. Itu yang saya perlu manage.

"Jadi mungkin perlu buka lembaran baharu sebagai jurulatih atau usahawan. Yang penting nak tenang daripada dunia bola sepak.

"Buat masa sekarang, saya bantu isteri berniaga dan menjadi penjual sambal," katanya.