KUALA LUMPUR: Seperti yang dispekulasikan sebelum ini, perseorangan badminton nombor satu negara Lee Zii Jia menjalin kerjasama dengan syarikat peralatan sukan dari Taiwan, Victor.

Victor dan pemain ranking ketujuh dunia itu mengesahkan kolaborasi tersebut menerusi laman Instagram mereka hari ini, namun tidak mendedahkan butiran kontrak.

"Selamat kembali ke keluarga Victor, @leeziijia. Victor dengan bangganya mengumumkan kolaborasi kedua bersama jaguh Malaysia ini.

"Kami tidak sabar untuk mencipta lebih banyak memori bersama pada tahun-tahun mendatang," menurut syarikat itu.

Sementara itu, atlet berusia 23 tahun berkenaan berkata: "Apa yang menarik hati saya ialah profesionalisme dan dedikasi Victor. Mereka juga percaya dan sentiasa bersama saya, membuatkan saya berasa selesa (bersama syarikat ini)."

Victor adalah penaja utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2015 apabila kedua-dua pihak tersebut menandatangani perjanjian enam tahun bernilai RM60 juta, sekali gus menamatkan kerjasama selama 15 tahun badan induk itu bersama syarikat terkenal jenama Jepun, Yonex.

Secara kebetulan, populariti Zii Jia meningkat pada tempoh penajaan Victor itu.

Bagaimanapun, BAM kembali mengikat perjanjian dengan Yonex menerusi kontrak bernilai RM55 juta, dari 1 Apr, 2021 hingga 31 Mac, 2026.

Victor juga kini menaja perseorangan wanita nombor satu dunia Tai Tzu Ying dari Taiwan, beregu lelaki nombor dua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia serta Persatuan Badminton Denmark.

Zii Jia, yang menjadi tumpuan awal tahun ini selepas meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional, sebelum ini dilaporkan menerima tawaran bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat jenama peralatan badminton.

Selepas membantu pasukan kebangsaan merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 minggu lepas, beliau akan memulakan perjalanan sebagai perseorangan profesional di Terbuka Jerman pada 8-13 Mac ini, sebelum menyertai Kejohanan All England (16-21 Mac) untuk mempertahankan gelaran juara.

-- BERNAMA