Skip to main content

Teknologi

3.4 juta syarikat Malaysia guna AI, majoriti masih di tahap asas - AWS

FILE PHOTO: AWS logo and broken ethernet cable are seen in this illustration taken October 20, 2025. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
38 peratus syarikat Malaysia kini menggunakan sekurang-kurangnya satu teknologi AI secara konsisten, meningkat daripada 27 peratus pada 2025 berdasarkan laporan Mencungkil Potensi AI Malaysia 2026 oleh Amazon Web Services (AWS). - Foto Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan syarikat di Malaysia meningkat ketara, namun majoriti masih menggunakan teknologi itu pada peringkat asas dan belum mempunyai strategi untuk mengembangkannya pada skala lebih besar.

Laporan Mencungkil Potensi AI Malaysia 2026 oleh Amazon Web Services (AWS) mendapati 38 peratus syarikat kini menggunakan sekurang-kurangnya satu teknologi AI secara konsisten, meningkat daripada 27 peratus pada 2025.

Hampir satu juta syarikat baharu mula menerima guna AI sepanjang tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 3.4 juta syarikat.

Namun, 67 peratus syarikat yang menerima guna AI masih tertumpu kepada aplikasi asas seperti bot sembang awam bagi tugasan rutin atau teknologi siap guna untuk melancarkan proses sedia ada.

Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali berkata Malaysia kini perlu bergerak daripada sekadar meneroka penggunaan teknologi itu kepada membina keupayaan AI sebenar yang boleh dilaksanakan pada skala lebih luas.

“Penyedia perisian merupakan pemacu utama yang diperlukan Malaysia untuk meningkatkan penerimagunaan AI pada skala yang lebih besar.

“Penyedia yang memberi tumpuan kepada sektor tertentu dan mengintegrasikan AI ke dalam peralatan operasi syarikat merupakan cara terpantas untuk menggerakkan seluruh ekonomi daripada fasa kajian kepada keupayaan sebenar,” katanya.

Keperluan itu semakin penting apabila hanya 19 peratus syarikat yang dikaji mempunyai strategi rasmi untuk memperluaskan penerimagunaan AI merentas pelbagai fungsi.

Kajian berkenaan turut menunjukkan syarikat Malaysia banyak bergantung kepada kepakaran luar untuk membangunkan keupayaan AI.

Lebih separuh atau 57 peratus memperoleh keupayaan AI daripada penyedia luar, perunding atau vendor perisian, manakala 69 peratus menyatakan penyedia perisian dan pembangun teknologi AI berpangkalan di Malaysia mempengaruhi penerimagunaan mereka.

Peranan penyedia teknologi juga melangkaui pembekalan perisian apabila 43 peratus syarikat mendapatkan bantuan mereka untuk membangunkan strategi AI, 40 peratus bagi integrasi dan penyelenggaraan sistem serta 31 peratus untuk latihan tenaga kerja.

Selain itu, perbezaan ketara turut dilihat antara sektor perkhidmatan kewangan dan pembuatan, meskipun kedua-duanya mencatat kadar penerimagunaan AI melebihi purata nasional.

Sebanyak 53 peratus syarikat dalam sektor perkhidmatan kewangan menerima guna AI, diikuti sektor pembuatan sebanyak 50 peratus, berbanding purata keseluruhan 38 peratus.

Namun, 57 peratus syarikat pembuatan masih berada dalam fasa penerokaan atau eksperimen walaupun 80 peratus percaya AI berpotensi mentransformasikan industri mereka.

Hanya 15 peratus mempunyai strategi AI rasmi, manakala 13 peratus benar-benar bersedia untuk teknologi AI generasi baharu.

Cabaran teknikal dan data menjadi kekangan utama kepada 44 peratus syarikat pembuatan, diikuti kapasiti tenaga kerja sebanyak 41 peratus dan kekangan sumber, 37 peratus.

Sektor perkhidmatan kewangan pula menunjukkan tahap kematangan lebih tinggi apabila 64 peratus syarikat sudah melepasi fasa eksperimen dan 42 peratus mempunyai strategi meningkatkan skala penggunaan AI.

Sebanyak 39 peratus syarikat sektor itu juga mempunyai rangka kerja tadbir urus AI rasmi, berbanding 24 peratus bagi keseluruhan syarikat yang dikaji.

Dapatan itu menunjukkan tadbir urus yang kukuh tidak semestinya memperlahankan penerimagunaan AI, malah berpotensi memberi keyakinan kepada organisasi untuk memperluaskan penggunaannya.

Hussein berkata aspek tadbir urus perlu bergerak seiring dengan kepimpinan sektor awam bagi memastikan momentum penerimagunaan AI dapat dikekalkan.

“Aspek tadbir urus dan kepimpinan sektor awam bukanlah dua perkara yang berasingan. Kedua-dua faktor ini diperlukan untuk mengekalkan momentum yang wujud,” katanya.

Di samping itu, peranan kerajaan dilihat semakin penting apabila 72 peratus syarikat menyatakan penerimagunaan AI yang lebih meluas oleh sektor awam akan meningkatkan kemungkinan organisasi mereka turut memperluaskan penggunaan teknologi itu.

Sebanyak 74 peratus pula menekankan kepimpinan kerajaan sebagai antara faktor penting untuk mempercepatkan penerimagunaan AI secara lebih menyeluruh.

Penggunaan AI dalam sektor awam dilihat berpotensi menjadi contoh pelaksanaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan keyakinan sektor swasta.

Menurut Hussein, pembangunan ekosistem tempatan juga penting untuk memastikan penggunaan AI dapat diperluaskan merentas industri.

“AWS sedang membangunkan ekosistem untuk merealisasikan matlamat ini dengan melabur dalam rakan kongsi tempatan, melatih tenaga kerja untuk menyokong mereka, serta menyediakan asas teknologi yang membolehkan penyedia perisian membawa AI kepada setiap industri dan perniagaan di Malaysia,” ujarnya.

Laporan itu memperlihatkan cabaran seterusnya bagi Malaysia bukan sekadar meningkatkan jumlah syarikat yang menggunakan AI, tetapi memastikan penerimagunaannya diterjemahkan kepada strategi, kemahiran, tadbir urus dan keupayaan perniagaan yang boleh berkembang pada skala lebih besar.

Kajian Strand Partners bagi pihak AWS itu melibatkan 1,000 orang awam dan 1,000 pemimpin syarikat di Malaysia merangkumi pelbagai saiz syarikat, sektor dan wilayah.

Must Watch Video

Advertisement