CUPERTINO: Gergasi teknologi Apple dijangka melancarkan model telefon pintar boleh lipat generasi ketiganya dengan saiz skrin dalaman dan luaran yang lebih besar menjelang 2028.
Laporan Amanz memetik Bloomberg mendedahkan pelan jangka panjang itu yang tersebar beberapa hari sebelum iPhone Ultra diperkenalkan sebagai telefon pintar boleh lipat pertama Apple di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, John Ternus.
Dalam tempoh terdekat, Apple dijangka melancarkan iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan iPhone Ultra, yang dikatakan bakal dilengkapi cip A20 Pro baharu serta kapasiti bateri yang dipertingkatkan.
Model premium iPhone Ultra itu dikatakan direka dengan saiz menyerupai pasport apabila dilipat, selain bakal mengembalikan penggunaan pengimbas cap jari Touch ID yang kali terakhir digunakan pada iPhone SE kira-kira enam tahun lalu.
Pada 2027, syarikat itu diramal memperkenalkan model mampu milik iPhone 18 dan iPhone 18e pada suku pertama, selain melancarkan siri iPhone Air 2 yang dilengkapi sistem dwi-kamera bagi merancakkan pasaran musim bunga.
Dua lagi model iPhone Pro baharu pula dijadual diperkenalkan pada separuh kedua 2027 sempena ulang tahun ke-20 iPhone, dengan rekaan skrin menyeluruh serta bezel yang lebih nipis.
Dalam masa yang sama, model iPhone Ultra generasi kedua turut dijangka dilancarkan pada tempoh sama, namun dipercayai hanya membabitkan peningkatan pemproses yang lebih berkuasa.
Keseluruhan garis masa itu dilihat selari dengan spekulasi rantaian bekalan sebelum ini yang mencadangkan model biasa dilancarkan pada separuh pertama setiap tahun, diikuti siri Pro pada separuh kedua.