Skip to main content

Teknologi

Apple dilapor bangunkan alat kawalan permainan Beats untuk iPhone, Mac

http://amanz.my/2026580842
Alat kawalan baharu itu difahamkan akan dilengkapi dengan butang D-Pad, kayu analog, sokongan giroskop, akselerometer serta motor maklum balas haptik. -Foto Amanz
Advertisement

CUPERTINO: Gergasi teknologi Apple dilapor akan melancarkan dua model alat kawalan permainan video di bawah jenama Beats sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukannya dalam industri permainan video.

Menurut laporan Amanz yang memetik Bloomberg, penemuan kod terbaharu dalam sistem operasi macOS Beta mendedahkan dua peranti berkenaan sedang dibangunkan menggunakan nama kod T6502 dan T1057.

Alat kawalan baharu itu difahamkan akan dilengkapi dengan butang D-Pad, kayu analog, sokongan giroskop, akselerometer serta motor maklum balas haptik.

Pengenalan aksesori itu juga dijangka membolehkan Apple mengurangkan kebergantungan kepada produk pihak ketiga seperti DualSense dan Backbone One yang sebelum ini sering digunakan dalam kempen promosi permainan syarikat tersebut.

Inisiatif itu dilihat selari dengan strategi jangka panjang Apple untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri permainan video selepas kegagalan konsol sulungnya, Pippin, yang dihentikan pengeluaran pada 1998 berikutan sambutan pasaran yang terhad.

Ketika ini, barisan iPhone dan komputer Mac yang dikuasakan cip Apple Silicon sudah mampu menjalankan permainan video bertaraf konsol dengan prestasi tinggi.

Pada masa hadapan, Apple TV yang dilengkapi cip pemprosesan lebih berkuasa dijangka berupaya berfungsi sebagai konsol permainan video domestik selain menjadi hab hiburan utama di rumah pengguna.

Must Watch Video

Advertisement