Skip to main content

Teknologi

Apple pertimbang langganan iCloud+ untuk akses Siri AI premium

61711340184_TBApplejpg.jpg
Siri AI generasi baharu itu dijangka diperkenalkan kepada pengguna awam menerusi iOS 27 bersama pelancaran siri iPhone baharu pada September ini. -Gambar fail
Advertisement

CUPERTINO: Apple dilapor sedang mempertimbangkan model perkhidmatan hibrid untuk pembantu maya Siri berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang membolehkan pengguna mengakses ciri tambahan melalui langganan berbayar.

Siri AI generasi baharu itu dijangka diperkenalkan kepada pengguna awam menerusi iOS 27 bersama pelancaran siri iPhone baharu pada September ini, lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata perkhidmatan asas Siri AI akan terus ditawarkan secara percuma, manakala pengguna yang memerlukan penggunaan lebih intensif atau keupayaan tambahan berkemungkinan perlu melanggan pakej iCloud+.

Menurut Cook, Apple sedang menilai kaedah untuk menawarkan kapasiti pemprosesan tambahan kepada pengguna yang kerap menggunakan Siri AI menerusi ekosistem iCloud+, selaras dengan kos operasi perkhidmatan berasaskan AI yang semakin meningkat.

Pendekatan itu sejajar dengan trend pasaran semasa apabila syarikat teknologi seperti Google, OpenAI dan Anthropic turut menawarkan pelan berbayar bagi ciri AI premium masing-masing, termasuk Gemini Advanced dan ChatGPT Plus.

Bagaimanapun, Apple masih belum mengumumkan struktur harga atau had penggunaan yang akan dikenakan kepada pelanggan sebelum pelancaran rasmi Siri AI.

Penganalisis industri menjangka integrasi AI yang lebih meluas dalam ekosistem Apple berpotensi mengukuhkan lagi segmen perkhidmatan syarikat itu, yang kini menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatannya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement