BRASILIA: Platform permesejan dan perkongsian digital Discord berdepan tuntutan saman sebanyak 500 juta reais atau AS$97 juta (kira-kira RM412 juta) daripada kerajaan Brazil berhubung dakwaan kegagalan melindungi kanak-kanak dan remaja di platform berkenaan.
Tindakan undang-undang sivil itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara Brazil (AGU) di mahkamah persekutuan selepas rundingan dengan syarikat tersebut gagal mencapai persetujuan.
Menurut pihak berkuasa, tindakan itu turut dibuat atas permintaan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas susulan kematian seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Julai lalu yang didakwa dipengaruhi pengguna lain ketika sesi penstriman langsung di Discord. Lima remaja dan seorang dewasa dilaporkan ditahan berhubung insiden berkenaan.
Kerajaan Brazil berkata Discord masih mempunyai kelemahan dalam sistem pengesahan umur dan perlindungan pengguna bawah umur walaupun platform itu telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada pihak berkuasa.
Melalui tuntutan mahkamah itu, Discord diminta melaksanakan beberapa langkah keselamatan dalam tempoh 15 hari, termasuk pengesahan umur yang lebih ketat, alat kawalan ibu bapa, sistem pemantauan kandungan serta mekanisme bagi mengesan dan mencegah kandungan berkaitan bunuh diri, kecederaan diri dan keganasan.
Pihak berkuasa turut memohon denda harian sebanyak 500,000 reais (AS$97,099) sekiranya syarikat itu gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pelaksanaan ciri keselamatan berkenaan.
Tindakan itu menyusul selepas Pihak Berkuasa Perlindungan Data Kebangsaan Brazil (ANPD) mengarahkan Discord menggantung fungsi penstriman langsung "Go Live" awal bulan ini berikutan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak dan remaja.
Dalam reaksinya, Discord berkata tindakan undang-undang tersebut tidak seimbang dan tidak menggambarkan usaha syarikat itu dalam aspek keselamatan, namun menegaskan ia telah mengemukakan cadangan teknikal serta pelaburan tambahan bagi memperkukuh perlindungan pengguna di Brazil.
Sementara itu, Peguam Negara Brazil Jorge Messias berkata kerajaan tidak bersedia menerima cadangan yang dianggap tidak mencukupi dan mahu Discord memberi komitmen penuh terhadap pematuhan undang-undang negara itu.
Beliau berkata antara tuntutan yang dikemukakan termasuk keperluan mewujudkan wakil atau entiti korporat rasmi di Brazil bagi memastikan akauntabiliti serta pemantauan pematuhan peraturan dapat dilaksanakan dengan berkesan.