BEIJING: Pemilik aplikasi TikTok, ByteDance, dilapor telah memulakan proses latihan model kecerdasan buatan (AI) generasi baharu dalam usaha menyaingi sistem AI terkemuka Barat, lapor Amanz.
Model terbaharu syarikat teknologi berpangkalan di China itu dilaporkan berpotensi mencapai sehingga 10 trilion parameter, sekali gus menghampiri skala model Mythos milik Anthropic.
Sebagai perbandingan, pemerhati industri menganggarkan model Mythos 5 mempunyai kira-kira lapan trilion parameter, manakala Fable 5 sekitar lima trilion parameter, meskipun angka rasmi tidak didedahkan oleh Anthropic.
Model AI yang sedang dibangunkan ByteDance itu juga dilaporkan melebihi tiga kali saiz Kimi K3 keluaran Moonshot AI, yang mempunyai kira-kira 2.8 trilion parameter.
ByteDance, yang sebelum ini memperkenalkan model penjanaan video Seedance, berkata projek baharu itu bertujuan menawarkan keupayaan dan tahap kecerdasan yang lebih tinggi berbanding model sedia ada.
Model tersebut juga dijangka dioptimumkan untuk tugasan pengaturcaraan dan penaakulan (reasoning) yang lebih kompleks, selain dibangunkan tanpa bergantung kepada kaedah penyulingan (distillation) daripada model pesaing.
Bagaimanapun, ByteDance masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi model itu kerana ia masih berada dalam peringkat awal latihan.
Proses pra-latihan berkenaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum memasuki fasa penalaan lanjut.
Perkembangan itu mencerminkan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan syarikat teknologi China yang berlumba-lumba membangunkan model AI berkeupayaan tinggi bagi menyaingi pemain utama global.
Penganalisis industri berpandangan dunia mungkin menyaksikan kemunculan beberapa model AI canggih baharu dari China dalam tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan tempoh latihan awal yang sedang berlangsung.