Skip to main content

Teknologi

eBay tolak tawaran pengambilalihan AS$56 bilion oleh GameStop

51555170937_Ebay.jpg
Lembaga pengarah eBay menyifatkan bidaan tersebut sebagai “tidak menarik” dan “tidak boleh dipercayai”. -Foto fail

SAN JOSE: Platform e-dagang, eBay Inc, menolak tawaran pengambilalihan bernilai AS$56 bilion (kira-kira RM220 bilion) yang dikemukakan oleh peruncit permainan video, GameStop Corp, menurut laporan Amanz.

Lembaga pengarah eBay menyifatkan bidaan tersebut sebagai “tidak menarik” dan “tidak boleh dipercayai”.

Tawaran itu dikemukakan minggu lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif GameStop, Ryan Cohen, yang mencadangkan pengambilalihan melalui gabungan tunai dan saham.

Menurut eBay, antara kebimbangan utama termasuk ketidakpastian pembiayaan, risiko operasi serta beban hutang yang berpotensi timbul daripada cadangan transaksi tersebut.

Dari segi perbandingan, nilai pasaran eBay dianggarkan sekitar AS$48 bilion, iaitu kira-kira empat kali ganda lebih besar berbanding GameStop yang bernilai sekitar AS$10 bilion.

Lembaga eBay turut menegaskan mereka kekal yakin terhadap strategi sedia ada yang memberi tumpuan kepada segmen khusus pasaran seperti barangan koleksi dan mewah terpakai.

Cadangan pengambilalihan itu mengejutkan penganalisis Wall Street, dengan ramai mempersoalkan rasional strategik serta keupayaan GameStop untuk membiayai urus niaga berskala besar berkenaan.

 

Must Watch Video