Skip to main content

Teknologi

Google bayar SpaceX AS$920 juta sebulan untuk ruang pusat data

61740049002_TBGoogle.jpg
Google memerlukan kapasiti pengkomputeran berkenaan untuk perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu. Perjanjian tersebut berkuat kuasa dari Oktober tahun ini hingga akhir Jun 2029. -Gambar fail

SAN FRANCISCO: Syarikat angkasa milik Elon Musk, SpaceX, dijangka menerima bayaran sebanyak US$920 juta sebulan daripada Google dalam beberapa tahun akan datang bagi penyewaan kapasiti pengkomputeran kepada gergasi teknologi itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Google memerlukan kapasiti pengkomputeran berkenaan untuk perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu. Perjanjian tersebut berkuat kuasa dari Oktober tahun ini hingga akhir Jun 2029.

Dalam perjanjian serupa, syarikat AI pesaing, Anthropic, turut membeli kuasa pengkomputeran daripada SpaceX pada nilai US$1.25 bilion sebulan menerusi perjanjian jangka panjang.

Musk menggabungkan syarikat AI miliknya, xAI, ke dalam SpaceX dan membangunkan beberapa pusat data untuk syarikat itu. Selepas pengumuman perjanjian dengan Anthropic beberapa minggu lalu, beliau berkata satu daripada pusat data itu mencukupi untuk aktiviti AI SpaceX.

Chatbot AI Grok sedang dibangunkan di xAI dan kini SpaceX. Grok digunakan pada kadar lebih rendah berbanding ChatGPT milik OpenAI, Claude milik Anthropic dan Gemini milik Google.

Dengan menyewakan kapasiti pengkomputeran yang amat diperlukan kepada Anthropic dan Google, Musk turut membantu syarikat itu dalam persaingan mereka dengan pesaing utama, OpenAI. Musk, bekas pengasas bersama OpenAI, telah lama berselisih dengan syarikat itu.

Infrastruktur AI memerlukan kos yang tinggi. Google sahaja dilaporkan memperuntukkan perbelanjaan modal sehingga US$190 bilion tahun ini, sebahagian besarnya untuk pusat data.

SpaceX merancang untuk disenaraikan di pasaran saham minggu depan dan menyasarkan penilaian keseluruhan sebanyak US$1.7 trilion serta hasil rekod sebanyak US$75 bilion.

Prestasi perniagaan semasa SpaceX bagaimanapun menunjukkan jurang ketara berbanding sasaran penilaian pasaran saham itu, dengan pelabur dijangka membayar lebih berdasarkan harapan terhadap kejayaan masa depan.

Tahun lalu, syarikat itu merekodkan kerugian kira-kira US$4.94 bilion dengan hasil sebanyak US$18.67 bilion. Penyewaan pusat data sahaja dijangka dapat meningkatkan angka kewangan itu dengan ketara.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement