Skip to main content

Teknologi

Google beli data dalaman Spirit Airlines untuk latih AI

81477028524_SpiritAirlines.jpg
Menurut dokumen mahkamah, aset data yang dijual merangkumi lebih 100 juta e-mel pekerja, kira-kira 500 juta mesej Microsoft Teams, dokumen syarikat, jadual kalendar kerja, metadata pembangunan perisian serta lebih 30 juta baris kod komputer. -Foto fail
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google dilapor memenangi lelongan kebankrapan dengan bidaan bernilai AS$10 juta (kira-kira RM42 juta) bagi memperoleh sebahagian besar aset data perniagaan dalaman milik syarikat penerbangan tambang murah Amerika Syarikat, Spirit Airlines.

Langkah itu dilaporkan bertujuan membantu pembangunan produk baharu serta melatih model kecerdasan buatan (AI) syarikat berkenaan supaya kekal kompetitif dalam pasaran teknologi global, lapor Amanz.

Untuk rekod, Spirit Airlines memulakan operasi sebagai Charter One pada 1980 sebelum berkembang menjadi antara syarikat penerbangan tambang murah utama di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu menghentikan operasinya secara rasmi pada 2 Mei lalu selepas gagal keluar daripada proses kebankrapan susulan beban hutang yang tinggi.

Menurut dokumen mahkamah, aset data yang dijual merangkumi lebih 100 juta e-mel pekerja, kira-kira 500 juta mesej Microsoft Teams, dokumen syarikat, jadual kalendar kerja, metadata pembangunan perisian serta lebih 30 juta baris kod komputer.

Data itu turut meliputi maklumat berkaitan operasi penerbangan, produktiviti pekerja, pengurusan projek, pemasaran, audit, kewangan dan pembangunan perisian yang dikumpulkan sepanjang tempoh operasi syarikat.

Google berkata data tersebut akan digunakan untuk menambah baik produk dan model AI miliknya.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa semua data yang diterima akan dinyahkenal pasti dan diawanamakan oleh pihak ketiga terlebih dahulu sebelum dipindahkan kepada Google.

Data pelanggan, profil penumpang serta maklumat program kesetiaan pelanggan tidak termasuk dalam urus niaga berkenaan.

Sebelum memenangi bidaan tersebut, Google berdepan persaingan daripada beberapa syarikat lain termasuk Mercor yang dilaporkan mengemukakan tawaran bernilai AS$7.5 juta (kira-kira RM31.5 juta).

Perkembangan itu mencerminkan usaha syarikat AI untuk mendapatkan sumber data proprietari yang realistik ketika industri berdepan cabaran mendapatkan data latihan baharu yang berkualiti bagi meningkatkan keupayaan model masing-masing.

 

Must Watch Video

Advertisement