Skip to main content

Teknologi

Google lancar fungsi kawalan suara berasaskan AI dalam Gmail, Docs dan Keep

AMANZ
Teknologi yang digerakkan oleh model Gemini Audio itu membolehkan pengguna memberikan arahan lisan secara interaktif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada input teks yang ditaip. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Google secara rasmi melancarkan fungsi kawalan suara baharu menerusi aplikasi Gmail, Docs dan Keep bagi memudahkan pengurusan tugasan harian pengguna, lapor Amanz.

Teknologi yang digerakkan oleh model Gemini Audio itu membolehkan pengguna memberikan arahan lisan secara interaktif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada input teks yang ditaip.

Fungsi berkenaan, yang pertama kali diperlihatkan semasa persidangan Google I/O 2026, kini diperluaskan menerusi tiga ciri utama dalam ekosistem Google Workspace.

Menerusi Gmail Live, pengguna boleh berinteraksi dengan peti masuk mereka menggunakan arahan suara untuk mencari maklumat dalam e-mel dengan lebih pantas tanpa perlu meneliti rantaian mesej yang panjang.

Bagi Docs Live pula, teknologi kecerdasan buatan (AI) itu bertindak sebagai rakan penulisan yang membantu menyusun idea yang disampaikan secara lisan kepada draf dokumen yang lebih teratur.

Dengan kebenaran pengguna, ciri itu turut boleh menggunakan maklumat daripada Gmail, Drive, Chat dan sumber web bagi melengkapkan dokumen.

Sementara itu, Keep Live membolehkan nota yang dirakam secara lisan ditukar secara automatik kepada nota tersusun, senarai tugasan atau senarai semak tanpa memerlukan input tambahan daripada pengguna.

Google berkata Gmail Live dan Keep Live kini ditawarkan kepada pelanggan Google AI Plus, Pro dan Ultra.

Bagi Docs Live, kemudahan itu tersedia untuk pelanggan Google AI Pro dan Ultra menerusi peranti Android dan iOS.

Menurut Google, fungsi berasaskan suara itu dijangka diperluaskan kepada pelanggan perusahaan dan perniagaan Google Workspace dalam masa terdekat.

Must Watch Video

Advertisement