Skip to main content

Teknologi

Google lancar Tap to Share untuk Pixel, mudahkan perkongsian fail dengan sentuhan

Google Tap to Share Kini Boleh Digunakan Pada Peranti Pixel
Fungsi itu mempunyai persamaan dengan ciri NameDrop pada iPhone, membolehkan pengguna berkongsi maklumat hubungan, gambar, video dan fail lain dengan hanya merapatkan dua peranti Android yang serasi menggunakan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC). -Foto Amanz
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi melancarkan ciri baharu Tap to Share untuk pengguna peranti Pixel 6 dan model lebih baharu, lapor Amanz.

Fungsi itu mempunyai persamaan dengan ciri NameDrop pada iPhone, membolehkan pengguna berkongsi maklumat hubungan, gambar, video dan fail lain dengan hanya merapatkan dua peranti Android yang serasi menggunakan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC).

Walaupun masih menggunakan protokol Quick Share, Tap to Share memudahkan proses pemindahan data dengan mengurangkan keperluan memilih peranti daripada senarai peranti berdekatan sebelum perkongsian dilakukan.

Menerusi kemas kini itu, pengguna boleh bertukar maklumat hubungan dengan merapatkan dua peranti yang berada di skrin utama.

Mereka turut boleh memilih maklumat yang ingin dikongsi atau hanya menerima maklumat daripada pengguna lain.

Bagi perkongsian gambar dan video pula, pengguna perlu membuka menu perkongsian (Share Sheet) terlebih dahulu sebelum merapatkan kedua-dua peranti untuk memulakan pemindahan.

Google turut mengesahkan fungsi itu akan diperluaskan kepada Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8 dalam masa terdekat.

Menurut syarikat itu, sokongan Tap to Share akan diperluaskan kepada lebih banyak peranti Android menjelang hujung tahun ini bagi memudahkan perkongsian fail dan maklumat antara pengguna Android.

Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Google memperkukuh ekosistem perkongsian fail antara peranti Android, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih lancar dan mudah kepada pengguna.

 

Must Watch Video

Advertisement