Skip to main content

Teknologi

Google perkenal penjejak objek Pixel Tag dengan sokongan Find Hub, UWB

[TB]_Google Pixel Tag_AMANZ
Pixel Tag menggunakan rangkaian Find Hub milik Google yang disokong oleh sejumlah besar peranti Android di seluruh dunia bagi membantu mengesan lokasi barangan walaupun berada di luar julat Bluetooth biasa. -Foto Amanz
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi memperkenalkan Pixel Tag, penjejak objek pertama keluarannya yang direka untuk bersaing dengan Apple AirTag dan Samsung SmartTag dalam pasaran global, pada acara Made by Google 2026, lapor Amanz.

Peranti berbentuk bujur itu dilengkapi teknologi Jalur Lebar Ultra (UWB) dan Bluetooth Channel Sounding yang membolehkan pengguna mendapatkan petunjuk arah serta jarak dengan lebih tepat ketika mencari barangan yang hilang.

Pixel Tag menggunakan rangkaian Find Hub milik Google yang disokong oleh sejumlah besar peranti Android di seluruh dunia bagi membantu mengesan lokasi barangan walaupun berada di luar julat Bluetooth biasa.

Dari segi reka bentuk, peranti itu dibina menggunakan gabungan logam dan polikarbonat serta mempunyai penarafan IP67 bagi ketahanan terhadap air dan debu.

Ia turut dilengkapi pembesar suara terbina dalam yang membolehkan bunyi amaran dimainkan ketika proses pencarian.

Selain itu, butang khas pada Pixel Tag boleh digunakan untuk membunyikan telefon pengguna yang tersalah letak.

Bagi aspek kuasa, Pixel Tag menggunakan bateri sel syiling CR2032 yang boleh diganti sendiri oleh pengguna dengan jangka hayat melebihi setahun bagi penggunaan biasa.

Google mengesahkan Pixel Tag akan mula dijual pada 11 November 2026 pada harga AS$29.99 (kira-kira RM133) bagi satu unit atau AS$99.99 (kira-kira RM442) bagi pek empat unit.

Peranti itu ditawarkan dalam satu pilihan warna iaitu Fog.

Must Watch Video

Advertisement