MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi memperkenalkan kemas kini baharu pada ekosistem kecerdasan buatan (AI) Gemini yang membolehkan pengguna mematikan paparan tera air visual pada kandungan yang dijana oleh platform tersebut, lapor Amanz.
Perubahan itu membolehkan imej, video dan kandungan audio yang dihasilkan menggunakan Gemini tidak lagi memaparkan tera air visual yang sebelum ini muncul pada hasil janaan AI.
Bagaimanapun, Google menegaskan ciri keselamatan dan ketelusan kandungan dikekalkan menerusi penggunaan teknologi penandaan kriptografi halimunan SynthID serta metadata C2PA yang disertakan pada setiap fail.
Menurut syarikat itu, pendekatan dua lapisan tersebut membolehkan kandungan janaan AI terus dikenal pasti dan asal-usulnya disahkan menerusi alat pengesahan digital walaupun tera air visual tidak lagi dipaparkan kepada pengguna.
Google berkata langkah tersebut bertujuan menyeimbangkan keperluan kawalan kreatif pengguna dengan tuntutan ketelusan terhadap kandungan janaan AI.
Untuk mematikan paparan tera air visual, pengguna boleh membuka menu Settings dalam Gemini dan memilih pilihan Media Watermark sebelum menukar tetapan kepada Off bagi kandungan yang akan dijana selepas itu.
Ciri baharu itu sedang dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna Gemini dan Flow.
Namun, Google memaklumkan pilihan berkenaan tidak akan ditawarkan di negara yang mewajibkan paparan tera air visual pada kandungan janaan AI mengikut undang-undang tempatan.