Skip to main content

Teknologi

Intel pertimbang kurangkan pengeluaran cip pengguna, fokus pusat data menjelang 2027

Permintaan terhadap cip unit pemprosesan pusat (CPU) untuk pusat data dilaporkan meningkat dengan ketara berikutan pertumbuhan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem AI agentik. -Foto Amanz
Permintaan terhadap cip unit pemprosesan pusat (CPU) untuk pusat data dilaporkan meningkat dengan ketara berikutan pertumbuhan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem AI agentik. -Foto Amanz
Advertisement

SANTA CLARA: Intel berkemungkinan mengurangkan pengeluaran cip pemprosesan komputer pengguna bagi memberi tumpuan kepada peningkatan output cip pusat data dalam tempoh beberapa tahun akan datang, khususnya menjelang 2027, lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan berkata dalam pembentangan kewangan suku ketiga baru-baru ini bahawa syarikat itu sedang menilai langkah berkenaan susulan cabaran bekalan komponen memori dan storan dalam pasaran global.

Pada masa sama, permintaan terhadap cip unit pemprosesan pusat (CPU) untuk pusat data dilaporkan meningkat dengan ketara berikutan pertumbuhan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem AI agentik.

Advertisement

Perkembangan itu mendorong Intel merancang mengurangkan sebahagian kapasiti pengeluaran siri cip pemprosesan komputer riba terbaharu syarikat itu, iaitu Panther Lake dan Wildcat Lake.

Ketua Pegawai Kewangan Intel, David Zinsner berkata sebahagian kapasiti pengeluaran wafer di fasiliti syarikat itu di Oregon yang sebelum ini diperuntukkan kepada Panther Lake berasaskan proses Intel 18A kini dialihkan kepada nod Intel 3 bagi meningkatkan pengeluaran cip pelayan Xeon 6.

Advertisement

Beliau berkata permintaan terhadap cip Wildcat Lake serta komputer riba yang menggunakannya kekal tinggi sehingga bekalan semasa dilaporkan telah kehabisan stok.

Bagaimanapun, kekangan bekalan memori dan storan dilaporkan memaksa pengeluaran komputer pengguna dikurangkan bagi memenuhi permintaan segmen pusat data korporat yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.

Intel tetap dijadual memperkenalkan siri cip pemproses desktop berprestasi tinggi Nova Lake yang berasaskan proses 18A-P pada awal tahun depan sempena CES 2027.

Langkah penstrukturan itu berlaku selepas industri perkomputeran merekodkan penurunan penghantaran PC global sebanyak 20 peratus pada suku ketiga lalu susulan peningkatan harga komponen memori, dengan keadaan pasaran yang lemah dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun hadapan.

Pada masa sama, timbul spekulasi bahawa NVIDIA mungkin mengurangkan atau menamatkan pengeluaran kad grafik permainan video desktop kelas atasan GeForce RTX 5090 dan RTX 5080 selepas kedua-dua model itu tidak lagi dipaparkan di kedai rasmi syarikat berkenaan.

Perkembangan itu berlaku ketika sebahagian besar bekalan memori GDDR7 dan silikon grafik dilaporkan diserap oleh pembangunan infrastruktur pusat data, sekali gus berpotensi menjejaskan bekalan komputer baharu kepada pengguna pada harga runcit dalam tempoh terdekat.

Must Watch Video

Advertisement