Skip to main content

Teknologi

Ketua OpenAI tolak IPO tahun ini susulan perdebatan keselamatan AI

OpenAI logo is seen in this illustration taken February 8, 2025. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo Purchase Licensing Rights
Penyenaraian OpenAI di pasaran saham, yang telah dirancang sejak sekian lama, dijangka meraih puluhan bilion dolar dan mencapai penilaian yang sangat tinggi. - Foto Reuters
Advertisement

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman menolak kemungkinan syarikat pembangun ChatGPT itu disenaraikan di pasaran saham tahun ini, susulan perdebatan berterusan mengenai bahaya kecerdasan buatan (AI) termaju, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam wawancara dengan majalah Fortune, Altman berkata sekarang merupakan “masa yang tidak sesuai untuk disenaraikan di pasaran saham.” Ketika ditanya sama ada beliau juga boleh mempertimbangkan untuk tidak meneruskan penyenaraian pada tahun berikutnya, Altman menjawab: “Saya akan katakan bukan 2026.”

ChatGPT mencetuskan ledakan AI ketika ini dan sejak beberapa tahun lepas. Penyenaraian OpenAI di pasaran saham, yang telah dirancang sejak sekian lama, dijangka meraih puluhan bilion dolar dan mencapai penilaian yang sangat tinggi.

Kebimbangan mengenai risiko AI semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terutama susulan serangan penggodaman yang dilakukan oleh perisian AI yang bertindak secara autonomi ketika ujian dijalankan.

Perdebatan itu semakin hangat sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila seorang penyelidik di syarikat AI Anthropic meletak jawatan dengan memberi amaran keras bahawa pemimpin syarikat AI berorientasikan keuntungan sedang “mempertaruhkan nyawa kita.”

Penyelidik Anthropic Evan Hubinger, yang turut bertanggungjawab memastikan AI kekal selaras dengan kepentingan manusia, tidak lama kemudian mengesahkan kebimbangan yang dibangkitkan seorang lagi penyelidik, Jacob Coxon.

Hubinger menulis di platform dalam talian X bahawa beliau secara peribadi percaya risiko AI menyebabkan kepupusan manusia dalam tempoh sedekad akan datang adalah lebih 10 peratus.

Di Amerika Syarikat (AS), gerakan menentang pembinaan pusat data berskala besar yang diperlukan syarikat AI seperti OpenAI untuk mengembangkan perniagaan mereka juga semakin mendapat perhatian.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement