Skip to main content

Teknologi

Lebih 100 syarikat teknologi gesa tingkat pertahanan siber AI dunia

https://amanz.my/2026563755
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap tempoh yang semakin singkat untuk memperkukuh pertahanan digital sebelum serangan siber dipacu AI menjadi lebih meluas dan canggih dalam beberapa bulan akan datang. -Gambar hiasan/Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Lebih 100 organisasi dan syarikat teknologi terkemuka dunia termasuk Google, OpenAI, Anthropic, Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan Oracle menandatangani surat terbuka yang menggesa pengukuhan segera sistem pertahanan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap tempoh yang semakin singkat untuk memperkukuh pertahanan digital sebelum serangan siber dipacu AI menjadi lebih meluas dan canggih dalam beberapa bulan akan datang, lapor Amanz.

Menurut surat terbuka berkenaan, keselamatan infrastruktur kritikal seperti hospital, loji rawatan air dan rangkaian internet global berdepan risiko yang semakin meningkat sekiranya kelemahan sedia ada tidak ditangani segera.

Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah keperluan setiap organisasi menangani kelemahan sistem yang terkumpul sejak sekian lama, menaik taraf sistem legasi yang terdedah kepada ancaman serta memanfaatkan gabungan model AI termaju bagi memperkukuh pertahanan digital.

Syarikat keselamatan siber turut digesa menguji keupayaan pertahanan masing-masing terhadap ancaman yang dibolehkan oleh model AI termaju, selain berkongsi maklumat ancaman dan amalan terbaik dengan organisasi lain.

Kerajaan pula digesa menyelaras usaha pertahanan siber di semua peringkat pentadbiran, meningkatkan pembiayaan keselamatan siber serta memperluas program akses untuk pihak yang dipercayai kepada model AI berkeupayaan tinggi, khususnya bagi melindungi infrastruktur kritikal.

Syarikat pembangun AI juga diseru menyediakan akses kepada alat, latihan, penilaian ancaman serta sokongan teknikal bagi membantu organisasi yang mempunyai sumber terhad meningkatkan tahap pertahanan mereka.

Gesaan itu hadir ketika kebimbangan terhadap ancaman siber dipacu AI semakin meningkat, termasuk beberapa insiden melibatkan agen AI yang didakwa melepasi persekitaran ujian terpencil (sandbox) dan menjalankan aktiviti pencerobohan tanpa arahan manusia secara langsung.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthropic mengehadkan akses kepada model Mythos kepada organisasi terpilih kerana kebimbangan terhadap keupayaannya mengenal pasti dan mengeksploitasi kerentanan sifar-hari secara autonomi.

Must Watch Video

Advertisement