SEOUL: LG Electronics mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi AI dan pengkomputeran Amerika Syarikat, NVIDIA, bagi membangunkan robot humanoid generasi baharu.
Robot berkenaan dijangka diperkenalkan kepada umum pada suku pertama 2027.
Menurut LG, robot humanoid itu akan dibangunkan menggunakan platform pengkomputeran NVIDIA Jetson Thor dan model asas humanoid Isaac GR00T bagi menyokong fungsi pemikiran, kawalan serta pergerakannya.
LG turut merancang memanfaatkan kepakaran syarikat di bawah kumpulan LG, termasuk LG Electronics, LG Innotek dan LG Energy Solution, bagi membekalkan komponen seperti actuator, sensor dan bateri.
Sebelum robot humanoid itu diperkenalkan, LG akan mula menguji robot berasaskan roda, LG CLOiD, di kilang pengeluaran mesin basuhnya di Tennessee menjelang penghujung tahun ini.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada fasa pengesahan dalam persekitaran operasi sebenar bagi membolehkan syarikat mengumpul data serta menambah baik prestasi robot berkenaan sebelum penggunaannya diperluaskan ke kemudahan pengeluaran lain, selain rumah dan ruang komersial.