PLATFORM rangkaian profesional LinkedIn melancarkan fungsi Creator Marketplace bagi menghubungkan jenama dengan pencipta kandungan profesional dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B).
Fungsi baharu yang disepadukan dalam platform pengiklanan LinkedIn ini membolehkan syarikat mencari pencipta kandungan yang relevan berdasarkan sektor industri dan sasaran audiens dengan lebih mudah, lapor Amanz.
Langkah tersebut mencerminkan strategi berbeza berbanding platform lain seperti YouTube, Meta dan TikTok, yang lebih memberi penekanan kepada capaian dan jumlah tontonan.
Sebaliknya, LinkedIn menekankan nilai kepakaran, reputasi serta kepercayaan profesional dalam kandungan B2B yang lebih khusus.
Bagi komuniti pencipta, Creator Marketplace membuka peluang penjanaan pendapatan melalui kandungan berbayar, selain potensi kerjasama lain seperti peranan penasihat korporat, jemputan sebagai penceramah dan projek profesional.
LinkedIn berkata langkah ini sejajar dengan perubahan trend pengguna yang didorong generasi milenial dan Gen Z, yang lebih cenderung mempercayai pandangan pencipta berbanding kaedah pemasaran tradisional.
Sebagai sokongan kepada ekosistem itu, LinkedIn turut merancang memperkenalkan kandungan video asal bersama pencipta terpilih, program penempatan iklan BrandLink, serta produk langganan dan acara eksklusif berbayar.