KUALA LUMPUR: Dalam usaha memastikan produk teknologi tempatan mencapai tahap kualiti dan kebolehpercayaan yang tinggi, proses pengujian kini menjadi antara fasa paling kritikal sebelum sesuatu produk dipasarkan.
Seiring keperluan itu, MIMOS Technologies Sdn Bhd tampil menyediakan Product Reliability Testing Lab, sebuah makmal ujian bertaraf antarabangsa yang membolehkan pemain industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjalani ujian menyeluruh secara lebih cekap tanpa perlu bergantung kepada kemudahan di luar negara.
Advertisement
Makmal ini bukan sekadar ruang ujian, tetapi medan penting di mana sesuatu produk diuji hingga ke had maksimum daripada simulasi persekitaran sebenar hinggalah kepada keadaan ekstrem bagi memastikan ia benar-benar bersedia sebelum memasuki pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Technologies Sdn Bhd, Afdzal Syahadat Husin berkata, pendekatan ini membolehkan kelemahan produk dikenal pasti lebih awal, sekali gus memberi ruang untuk penambahbaikan sebelum pengeluaran berskala besar.
“PKS dan pemain industri tak perlu keluar negara untuk mengecepatkan ujian.
“Kedua, kita sediakan banyak peralatan dan semua ujian dan penilaian kita berdasarkan piawaian antarabangsa.
“Jadi ujian yang menurut ini dapat mengenal pasti kelemahan di peringkat awal, jadi penambahbaikan boleh dibuat sebelum produk tu pergi ke pasaran,” katanya.
Menurut beliau, proses pengujian yang sistematik ini turut membantu memendekkan kitaran pembangunan produk, sekali gus mempercepatkan proses pengkomersialan dengan lebih yakin dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Makmal Kebolehpercayaan MIMOS, Azmir Aladin menjelaskan, setiap produk diuji dengan mensimulasikan pelbagai keadaan persekitaran sebenar seperti suhu melampau, kelembapan, hujan, pendedahan cahaya matahari serta getaran.
“Sebagai contoh, kita uji ketahanan produk itu terhadap suhu yang panas dan suhu yang sejuk ketahanan terhadap hujan, terhadap cahaya matahari, tahan karat dan tahan getaran.
“Selain benda itu, ujian utama yang dijalankan di makmal ini dikenali ujian jangka hayat yang dipercepatkan atau Isolated Life Test ALT yang kita gunakan untuk mengenal pasti potensi kegagalan dan mengganggar kejangkaan hayat produk,” ujarnya.
Melalui ujian jangka hayat dipercepatkan ini, produk diuji dalam keadaan lebih ekstrem bagi mempercepatkan potensi kegagalan, sekali gus membolehkan jangka hayatnya dianggarkan dengan lebih tepat.
Pendekatan ini memastikan produk yang dihasilkan bukan sekadar prototaip, tetapi benar-benar bersedia untuk pengeluaran berskala besar.
Dalam pada itu, akreditasi antarabangsa yang dimiliki makmal ini memastikan setiap keputusan ujian diiktiraf di peringkat global.
Ini memudahkan kemasukan produk tempatan ke pasaran luar, di samping meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap kualiti buatan Malaysia.
Makmal ini juga telah menguji pelbagai jenis produk termasuk komponen automotif, peralatan avionik dan aerospace serta peranti dan komponen semikonduktor melibatkan syarikat tempatan dan multinasional.
MIMOS Technologies Sdn Bhd mengalu-alukan pemain industri, syarikat teknologi dan pengeluar untuk memanfaatkan kemudahan ini, sama ada bagi tujuan pengujian kebolehpercayaan, kelayakan produk atau sebagai persediaan sebelum menembusi pasaran global.