MEDIATEK melancarkan cip pemprosesan kelas pertengahan terbaharu, Dimensity 7500, yang menjadi antara set cip pertama menggunakan seni bina unit pemprosesan pusat (CPU) Arm C1, lapor Amanz.
Pelancaran cip berasaskan teknologi 4 nanometer (4nm) itu dilakukan serentak dengan model premium Dimensity 8550 di pasaran global hari ini.
Dalam kenyataannya, MediaTek berkata Dimensity 7500 merupakan penambahbaikan daripada siri Dimensity 7400 untuk peranti pintar Android kelas pertengahan.
Cip itu dilengkapi konfigurasi CPU 4 teras Arm C1 Pro berkelajuan sehingga 2.6GHz dan 4 teras C1 Nano sehingga 2.0GHz.
Ia turut dipadankan dengan unit pemprosesan grafik (GPU) Arm Mali-G625 MC2 serta unit pemprosesan neural (NPU) MediaTek NPU 850.
Menurut syarikat itu, cip berkenaan menawarkan peningkatan prestasi termasuk sehingga 30 peratus lebih pantas bagi pertukaran aplikasi, 19 peratus lebih cekap untuk permainan video dan 40 peratus kelajuan pemindahan data lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.
“Selain itu, kecekapan penggunaan tenaga turut meningkat kira-kira sembilan peratus,” menurut kenyataan itu.
Dari segi spesifikasi, Dimensity 7500 menyokong memori LPDDR5 berkelajuan 6400Mbps serta storan UFS 3.1.
Untuk keupayaan kamera, cip tersebut dilengkapi pemproses isyarat imej (ISP) Imagiq 1050 yang menyokong sensor sehingga 200 megapiksel.
Ia juga menyokong paparan beresolusi 1344×2800 piksel dengan kadar segar semula sehingga 144Hz, selain sambungan 5G, Wi‑Fi 6E dan Bluetooth 5.4.
MediaTek memaklumkan Redmi Note 17 Pro Max dijangka menjadi antara peranti terawal menggunakan cip tersebut.