META kini memaklumkan pengguna CrowdTangle, perkhidmatan berkenaan akan ditamatkan pada 14 Ogos 2024.

Ini sekali gus akan memberikan sedikit sebanyak impak kepada pengguna perkhidmatan tersebut – terutamanya wartawan dan ahli akademik.

CrowdTangle merupakan salah satu perkhidmatan yang memudahkan wartawan dan organisasi penerbitan dalam melakukan kajian dan perbandingan bersama pelbagai penerbit lain.

Di samping itu, para pengkaji akademik turut boleh menggunakannya dalam mengakses sejumlah data dan maklumat berkaitan perkembangan dan penggunaan pengguna pada platform tersebut.



Meta memaklumkan yang mana sebuah ciri baharu dinamakan Meta Content Library akan ditawarkan - tetapi lebih menyasarkan pengguna akademik dan pengkaji sahaja.

Dengan langkah ini, sekali lagi Meta dilihat menjarakkan platform mereka daripada para penerbit kandungan dan wartawan - selepas baru-baru ini turut menyatakan akan menamatkan Facebook News.