Skip to main content

Teknologi

Meta setuju bayar AS$18 bilion, hadkan penggunaan Facebook, Instagram remaja

FILE PHOTO: Meta AI logo is seen in this illustration created on September 28, 2023. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Meta turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah perlindungan baharu untuk pengguna bawah umur di Amerika Syarikat (AS), termasuk had penggunaan lalai selama dua jam sehari bagi Facebook dan Instagram. -Gambar Reuters
Advertisement

SAN FRANCISCO: Meta bersetuju membayar sehingga AS$18 bilion (kira-kira RM76 bilion) dalam tempoh 10 tahun bagi menyelesaikan saman berkaitan dakwaan bahawa Facebook dan Instagram direka dengan ciri yang boleh menggalakkan ketagihan dalam kalangan remaja, lapor Amanz.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Meta turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah perlindungan baharu untuk pengguna bawah umur di Amerika Syarikat (AS), termasuk had penggunaan lalai selama dua jam sehari bagi Facebook dan Instagram.

Di bawah ketetapan baharu itu, akses remaja kepada kedua-dua platform berkenaan akan disekat secara lalai antara 12 tengah malam hingga 6 pagi, manakala kebanyakan notifikasi turut dimatikan semasa waktu persekolahan.

Meta turut memperkenalkan langkah tambahan termasuk kawalan ibu bapa yang dipertingkat, pengesahan umur yang lebih ketat serta beberapa ciri keselamatan baharu untuk melindungi pengguna bawah umur.

Langkah-langkah tersebut hanya terpakai kepada pengguna di AS kerana ia merupakan sebahagian daripada syarat penyelesaian yang dicapai antara Meta dan gabungan peguam negara negeri-negeri AS.

Susulan pengumuman itu, beberapa kumpulan advokasi keselamatan kanak-kanak dan pengguna menggesa agar perlindungan yang sama diperluaskan kepada semua pengguna bawah umur di seluruh dunia.

Langkah berkenaan selari dengan usaha kerajaan di pelbagai negara untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak dalam talian. Australia, misalnya, telah meluluskan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah umur 16 tahun.

Must Watch Video

Advertisement