MICROSOFT mengumumkan kenaikan harga konsol Xbox Series X dan Series S berkuat kuasa 1 Ogos 2026 susulan peningkatan kos komponen memori dan storan global, lapor Amanz.
Menurut syarikat itu, harga konsol Xbox Series S dengan storan 512GB kini bermula pada AS$500 (kira-kira RM2,000), meningkat AS$100 berbanding harga sebelumnya.
Bagi model Xbox Series X edisi digital 1TB pula, harga baharu ditetapkan pada AS$750 (kira-kira RM3,076), iaitu peningkatan AS$150.
Microsoft berkata kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan selepas kos memori dan storan meningkat lebih 2.5 kali ganda dalam tempoh setahun, didorong permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Xbox, Asha Sharma berkata tekanan kos itu memberi kesan langsung kepada model perniagaan perkakasan syarikat, yang lazimnya dijual pada margin keuntungan yang rendah.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa laporan media mengesahkan Xbox kini sedang menjalani fasa penstrukturan semula berskala besar melibatkan penutupan beberapa studio pembangun permainan di bawah naungannya.
Studio Ninja Theory disahkan telah ditutup sepenuhnya oleh Microsoft, manakala studio Double Fine pula dilaporkan sedang berada dalam fasa rundingan aktif untuk berpisah dan bergerak semula sebagai entiti bebas.
Sebagai alternatif kepada penutupan penuh, Microsoft turut mempertimbangkan pilihan pembelian semula syarikat oleh pihak pengurusan asal studio (management buyback) bagi mengekalkan operasi beberapa jenama terpilih.