KOTA KINABALU: Kesukaran mendapatkan sampel darah ikan, khususnya spesies bersaiz besar, mendorong Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan EasyDraw, inovasi yang mampu memendekkan proses pengambilan sampel darah kepada hanya dua hingga tiga minit.
Inovasi berkenaan dibangunkan bagi menangani cabaran kaedah konvensional yang memerlukan kemahiran khusus untuk mengenal pasti kedudukan salur darah ikan sebelum sampel dapat diambil.
Dekan Institut Marin Borneo (IMB) UMS, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui, berkata pengambilan darah ikan bukan proses mudah kerana kedudukan salur darah yang berada di dalam badan menyukarkan penyelidik mengenal pasti lokasi tepat untuk melakukan persampelan.
Beliau berkata, cabaran itu lebih ketara apabila penyelidikan membabitkan ikan bersaiz besar seperti kerapu dan ikan Napoleon yang boleh mencapai berat antara 40 hingga 100 kilogram.
"Pengalaman kami bersama penternak di seluruh Malaysia menunjukkan proses mendapatkan sampel darah ikan boleh mengambil masa yang agak panjang, terutama apabila membabitkan ikan bersaiz besar.
"Justeru, kami perlu mencari kaedah yang dapat memudahkan proses berkenaan supaya pengambilan sampel darah dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tepat," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Menurutnya, kaedah konvensional boleh mengambil masa sehingga lima jam untuk proses pengambilan sampel darah ikan secara keseluruhannya, sekali gus meningkatkan tempoh pengendalian dan tekanan terhadap haiwan berkenaan.
Bagaimanapun, menerusi EasyDraw, proses itu kini dapat dilakukan dalam tempoh hanya dua hingga tiga minit, sekali gus menjimatkan masa penyelidik serta membantu memastikan kebajikan ikan lebih terpelihara.
Beliau berkata, antara cabaran utama dalam pembangunan inovasi itu ialah mengenal pasti kedudukan salur darah yang tepat memandangkan struktur dalaman ikan berbeza mengikut spesies dan saiz.
Katanya, sampel darah memainkan peranan penting dalam penyelidikan akuakultur kerana ia menjadi antara indikator untuk menilai tahap kesihatan, keadaan fisiologi serta perkembangan reproduktif ikan.
Malah, bagi spesies bernilai tinggi seperti kerapu dan ikan Napoleon, pemantauan aspek pembiakan amat penting kerana kedua-duanya mempunyai sistem reproduktif kompleks, termasuk fenomena perubahan jantina daripada betina kepada jantan.
"Apabila kita memahami keadaan fisiologi dan reproduktif ikan, kita dapat merancang pengurusan induk dengan lebih baik bagi memastikan pengeluaran benih ikan dapat diteruskan secara konsisten.
"Ini penting kerana industri akuakultur mempunyai peranan besar dalam menyokong pengeluaran makanan dan jaminan bekalan makanan negara," katanya.
Mengulas potensi penggunaan inovasi itu, beliau berkata UMS mahu memastikan EasyDraw tidak hanya dimanfaatkan dalam penyelidikan universiti, sebaliknya dapat diperluaskan kepada penternak dan pengusaha akuakultur di seluruh negara, termasuk pasaran Asia Tenggara.
Katanya, kerjasama dengan pihak industri turut diberi perhatian bagi memastikan inovasi yang dihasilkan universiti dapat memenuhi keperluan sebenar sektor berkenaan, selain meningkatkan kemahiran penternak dalam aspek pengurusan dan persampelan ikan.
Beliau berkata, penyertaan UMS dalam Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November di Putrajaya International Convenction Centre (PICC) juga menjadi platform penting untuk memperkenalkan hasil penyelidikan dan inovasi universiti kepada masyarakat serta pemain industri.
Katanya, platform berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada penyelidik mengetengahkan hasil pembangunan teknologi, malah membolehkan orang ramai melihat sendiri potensi inovasi universiti dalam menyelesaikan cabaran industri dan memberi manfaat kepada masyarakat.