Ringkasan AI
- Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan sidang berkaitan dibuka di Filipina, fokus kepada perpaduan dan kerjasama hadapi cabaran geopolitik serta ekonomi serantau.
- Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., menegaskan keperluan tindakan kolektif negara anggota demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
- Sidang tiga hari ini bincang keutamaan serantau, kerjasama maritim, ekonomi digital, keselamatan siber dan pemerkasaan rakyat di bawah visi ASEAN 2045.
MANILA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan secara rasmi membuka tirai di sini hari ini, dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan dan kerjasama serantau dalam mendepani ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi serta pelbagai ancaman rentas sempadan.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. yang juga Pengerusi ASEAN 2026, ketika merasmikan pembukaan sidang itu menegaskan keperluan negara anggota bertindak secara kolektif bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini terus terpelihara.
Pertemuan tiga hari hingga Selasa itu menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog bagi membincangkan keutamaan serantau, selain merangka hala tuju blok berkenaan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Dalam ucapan pembukaannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), Marcos berkata perkembangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, kemajuan teknologi serta ancaman rentas sempadan menuntut pendekatan bersama kerana tiada negara mampu menangani cabaran berkenaan secara bersendirian.
"Gangguan terhadap keselamatan rakyat ASEAN di luar negara serta bekalan pengangkutan, tenaga dan makanan susulan krisis di Asia Barat awal tahun ini menjadi peringatan mengenai pentingnya kerjasama serantau.
"Negara anggota sebelum ini turut mempertimbangkan kemungkinan menangguhkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu susulan krisis berkenaan, namun akhirnya mencapai persetujuan bahawa situasi itu menjadikan pertemuan serantau lebih diperlukan.
"Ia merupakan saat yang tepat untuk ASEAN bersatu bagi merangka tindak balas yang tegas," katanya di sini, hari ini.
Marcos berkata kepengerusian Filipina tahun ini memberi tumpuan kepada tiga keutamaan di bawah visi jangka panjang ASEAN 2045, iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.
Beliau turut menyentuh kemajuan kerjasama maritim, usaha membanteras pemerdagangan manusia, jenayah siber dan penipuan dalam talian, selain memperkukuh integrasi ekonomi menerusi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan pembangunan Grid Kuasa ASEAN.
Dalam pada itu, Marcos menegaskan kepentingan kerjasama serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kesiapsiagaan menghadapi bencana, perlindungan sosial dan daya tahan digital, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Beliau turut menyifatkan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) sebagai peringatan terhadap komitmen ASEAN terhadap prinsip saling menghormati, tidak menggunakan kekerasan serta menyelesaikan pertikaian secara aman.
Marcos berkata keputusan yang dicapai sepanjang sidang kemuncak dan pertemuan bersama rakan luar akan mempengaruhi keupayaan ASEAN menangani cabaran semasa, memanfaatkan peluang baharu serta mempersiapkan rantau ini untuk generasi akan datang.
Sidang kemuncak kali ini berlangsung dari 15 hingga 17 November di bawah tema Navigating Our Future, Together, dengan Filipina menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2026.