Skip to main content

Teknologi

Nothing nafi dakwaan keluar dari 12 pasaran global, sahkan penyusunan semula operasi

[TB]_Nothing Phone_AMANZ
Menerusi kenyataan di platform X, Evangelidis menegaskan syarikat itu tidak menutup operasi di mana-mana pasaran dan sebaliknya sedang melaksanakan penyusunan semula organisasi bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya. -Foto Amanz
Advertisement

LONDON: Syarikat teknologi Nothing menafikan laporan sebuah portal media asing yang mendakwa jenama itu akan menarik diri daripada 12 pasaran global susulan tekanan kos komponen dan cabaran perniagaan semasa, lapor Amanz.

Pengasas bersama Nothing, Akis Evangelidis, berkata laporan berkenaan tidak tepat dan menyifatkannya sebagai "berita palsu".

Menerusi kenyataan di platform X, beliau menegaskan syarikat itu tidak menutup operasi di mana-mana pasaran dan sebaliknya sedang melaksanakan penyusunan semula organisasi bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.

 

 

Beliau berkata, langkah transformasi strategik itu turut merangkumi penubuhan unit perniagaan natif kecerdasan buatan (AI) serta penyatuan operasi beberapa negara ke hab serantau bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.

Menurut Evangelidis, perubahan berkenaan memberi kesan kepada beberapa jawatan dalam syarikat, namun angka pemberhentian pekerja yang dilaporkan media tertentu adalah keterlaluan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Beliau berkata, syarikat itu tidak dapat mendedahkan butiran lanjut berhubung proses tersebut kerana perlu mematuhi keperluan kawal selia serta rundingan tempatan yang masih berjalan.

Terdahulu, portal teknologi Digit.in melaporkan Nothing sedang merancang keluar daripada 12 pasaran global dan mengurangkan jumlah tenaga kerjanya secara besar-besaran. Laporan itu bagaimanapun disangkal oleh Evangelidis.

Kebimbangan dalam kalangan pengguna turut timbul apabila jenama subsidiari syarikat itu, CMF by Nothing, sebelum ini mengakui kenaikan mendadak harga RAM dan storan telah menjejaskan perancangan pelancaran model telefon pintar baharu dalam segmen berharga rendah.

 

Must Watch Video

Advertisement