Skip to main content

Teknologi

OpenAI lancar ChatGPT for Teens dengan kawalan ibu bapa, ciri keselamatan baharu

OpenAI melancarkan ChatGPT for Teens dengan ia dikatakan adalah kecerdasan buatan (AI)lebih selamat digunakan oleh golongan remaja. Apabila mengesan pengguna adalah berusia bawah 18 tahun atau mereka menetapkan sendiri berusia antara 13-17 tahun, akaun secara automatik akan berubah kepada ChatGPT for Teens._AMANZ
Pengguna yang dianggarkan berusia bawah 18 tahun atau menyatakan umur antara 13 hingga 17 tahun akan ditempatkan secara automatik dalam pengalaman ChatGPT for Teens. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: OpenAI secara rasmi melancarkan ChatGPT for Teens, iaitu versi khas chatbot berkenaan yang direka untuk remaja dengan perlindungan keselamatan tambahan serta kawalan ibu bapa yang lebih menyeluruh, lapor Amanz.

Pengguna yang dianggarkan berusia bawah 18 tahun atau menyatakan umur antara 13 hingga 17 tahun akan ditempatkan secara automatik dalam pengalaman ChatGPT for Teens.

Platform itu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan baharu, termasuk perlindungan terhadap kandungan seksual eksplisit, keganasan, aktiviti berbahaya, gangguan pemakanan dan isu berkaitan mencederakan diri.

Antara topik berisiko tinggi yang diberikan kawalan tambahan ialah cubaan mencederakan diri, bunuh diri, gangguan pemakanan serta kandungan yang berpotensi memudaratkan perkembangan remaja.

OpenAI turut memperkenalkan Study Mode, yang direka untuk membantu pelajar memahami sesuatu topik secara berperingkat menerusi soalan panduan dan penerangan langkah demi langkah, berbanding hanya memberikan jawapan akhir.

Selain itu, kuiz interaktif, visualisasi pembelajaran dan peringatan tugasan sekolah turut disediakan bagi menggalakkan proses pembelajaran yang lebih aktif.

Sistem itu juga akan memaparkan amaran keselamatan apabila pengguna cuba memuat naik imej peribadi atau sensitif bagi meningkatkan kesedaran tentang privasi dalam talian.

Ibu bapa dan penjaga pula boleh memautkan akaun keluarga, mengurus beberapa tetapan keselamatan, menerima notifikasi dalam situasi berisiko tinggi serta menetapkan Quiet Hours bagi mengehadkan penggunaan ChatGPT pada waktu tertentu.

Pelancaran ChatGPT for Teens dibuat ketika OpenAI berdepan penelitian berhubung keselamatan remaja dalam penggunaan chatbot AI, termasuk beberapa tindakan undang-undang yang dikaitkan dengan kesan interaksi pengguna muda dengan sistem kecerdasan buatan.

Must Watch Video

Advertisement