Skip to main content

Teknologi

OpenAI rombak strategi, tumpu perusahaan dan pengaturcaraan

41746704344_OpenAIlogo.jpg
OpenAI kini dilihat lebih cenderung untuk mengoptimumkan sumber mereka kepada kumpulan pengguna yang sanggup membayar bagi perkhidmatan premium, terutamanya dalam bidang pembangunan perisian. -Gambar fail

SAN FRANCISCO: Firma kecerdasan buatan (AI) terkemuka, OpenAI, dilaporkan sedang merangka pelan akhir untuk mengubah strategi perniagaannya dengan memberikan tumpuan khusus kepada segmen perusahaan dan pengaturcaraan, lapor Amanz.

Langkah drastik itu diambil selepas syarikat berkenaan menilai semula keberkesanan pelbagai produk yang diperkenalkan menerusi ChatGPT sebelum ini, termasuk pelayar web Atlas, penjana video Sora, serta integrasi e-dagang yang dilihat tidak semuanya mencapai kejayaan yang diharapkan.

Advertisement

Menurut sumber dalaman, kepimpinan OpenAI kini menumpukan usaha untuk memperkemas penawaran utama syarikat, termasuk menilai projek-projek yang kurang menunjukkan prestasi konsisten.

Peralihan fokus ini turut dipengaruhi oleh kejayaan pesaingnya, Anthropic, yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan melalui produk khusus seperti Claude Code dan CoWork tanpa perlu menyasarkan pasaran pengguna awam yang luas.

Berbeza dengan strategi sebelum ini, OpenAI kini dilihat lebih cenderung untuk mengoptimumkan sumber mereka kepada kumpulan pengguna yang sanggup membayar bagi perkhidmatan premium, terutamanya dalam bidang pembangunan perisian.

Kepuasan pengguna terhadap kebolehan penjanaan kod menerusi versi terkini Codex memberikan isyarat positif bahawa segmen ini mampu menjana keuntungan yang lebih stabil dan mampan bagi syarikat.

Walau bagaimanapun, perubahan hala tuju ini menimbulkan tanda tanya mengenai status projek-projek lain, termasuk perancangan OpenAI untuk memperkenalkan peranti perkakasan mereka sendiri pada masa hadapan.

Penganalisis industri berpendapat bahawa langkah ini adalah perlu bagi memastikan OpenAI kekal relevan dan kompetitif dalam landskap teknologi AI yang semakin mencabar dan kompetitif.
 

Must Watch Video