Skip to main content

Teknologi

Operasi fairlife milik Coca-Cola terjejas akibat serangan perisian tebusan

fairlife_fairlife
Sejurus mengesan pencerobohan itu, syarikat berkenaan mengaktifkan protokol tindak balas insiden dan langkah keselamatan perniagaan bagi mengekang penularan serangan.
Advertisement

NEW YORK: Syarikat minuman Coca-Cola mengesahkan anak syarikat produk tenusunya, fairlife, berdepan serangan perisian tebusan yang memaksa penghentian sementara keseluruhan operasi pengeluarannya di Amerika Syarikat (AS).

Sejurus mengesan pencerobohan itu, syarikat berkenaan mengaktifkan protokol tindak balas insiden dan langkah keselamatan perniagaan bagi mengekang penularan serangan, lapor Amanz.

Dalam satu kenyataan, Coca-Cola berkata siasatan serta penilaian menyeluruh terhadap insiden tersebut sedang dijalankan dengan bantuan penasihat luar dan pakar keselamatan siber.

Insiden itu turut dilaporkan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan untuk siasatan lanjut.

Menurut Coca-Cola, gangguan siber itu memberi kesan secara menyeluruh terhadap rangkaian pengeluaran fairlife di AS. Bagaimanapun, syarikat itu memberi jaminan bahawa insiden tersebut tidak menjejaskan aspek kualiti dan keselamatan produk.

Kawalan kualiti, keselamatan produk serta operasi fairlife di Kanada tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa.

Syarikat itu kini sedang mempergiat usaha pemulihan bagi memastikan keseluruhan rangkaian operasi fairlife yang terjejas dapat kembali berfungsi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

 

Must Watch Video

Advertisement