DUA gergasi teknologi China, Oppo dan Vivo, dilapor sedang membangunkan peranti kamera gimbal kompak tersendiri bagi mencabar dominasi pasaran siri DJI Osmo Pocket.
Langkah strategik ini menyusul ketika pasaran kamera mini mencatatkan pertumbuhan pesat, didorong oleh peningkatan populariti dalam kalangan pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial, lapor Amanz.
Menurut pendedahan terbaharu penganalisis industri teknologi Digital Chat Station, kedua-dua pengeluar itu bakal melengkapkan kamera kompak berkenaan dengan sensor premium 200 megapiksel Sony Lytia 901.
Sensor imej berprestasi tinggi itu merupakan komponen yang turut digunakan dalam barisan telefon pintar mercu keluaran mereka.
Bagi mengukuhkan kualiti visual, Oppo dilaporkan akan menggunakan penjenamaan optik Hasselblad, manakala Vivo pula mengekalkan kerjasama dengan pakar lensa Zeiss.
Kedua-dua peranti tersebut dijangka direka untuk diintegrasikan secara langsung dengan telefon pintar masing-masing, sekali gus memudahkan pemindahan fail serta perkongsian kandungan secara masa nyata ke platform media sosial.
Segmen kamera gimbal kompak kini dikuasai oleh jenama seperti DJI dan Insta360, dengan kedua-duanya turut memperkenalkan inovasi struktur dwi-kamera pada model terbaharu.
Kategori peranti ini terus menjadi pilihan pengguna kerana reka bentuknya yang kecil, ringan dan mudah dikendalikan, selain mampu menawarkan kestabilan video pada tahap profesional.