TOKYO: Pelakon suara veteran Jepun, Kenjiro Tsuda, memfailkan saman sivil terhadap pengendali platform video pendek TikTok susulan dakwaan suaranya diklon menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa kebenarannya, lapor Amanz.
Tsuda, yang dikenali menerusi lakonan suara watak Kento Nanami dalam siri anime Jujutsu Kaisen serta Seto Kaiba dalam francais Yu-Gi-Oh!, mengambil tindakan itu selepas mengesan sekurang-kurangnya 188 video yang didakwa menggunakan tiruan suaranya.
Menurut dokumen mahkamah, kandungan itu disebarkan oleh sebuah akaun tanpa nama yang menggunakan imej menyerupai watak anime yang pernah dilakonkan Tsuda.
Akaun berkenaan dilaporkan mempunyai lebih 200,000 pengikut dan dipercayai menjana pendapatan antara 500,000 hingga 750,000 yen (kira-kira RM14,000 hingga RM21,000) sebulan menerusi video berkaitan legenda urban, fenomena mistik dan teori konspirasi.
Peguam Tsuda berhujah bahawa suara seseorang pelakon merupakan aset komersial yang dibina melalui latihan dan pengalaman bertahun-tahun serta wajar dilindungi daripada eksploitasi tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, TikTok menolak dakwaan itu dengan menyatakan audio yang digunakan hanyalah suara lelaki generik dan sebarang persamaan dengan suara Tsuda adalah bersifat subjektif.
Tsuda dan pasukan peguamnya turut meminta mahkamah mengiktiraf suara sebagai sebahagian daripada identiti individu yang mempunyai nilai komersial serta perlindungan undang-undang.
Kes yang dibicarakan di Mahkamah Daerah Tokyo itu dianggap antara kes pertama di Jepun yang menguji perlindungan undang-undang terhadap penggunaan suara yang dijana AI tanpa kebenaran pemilik asal.
Pada masa sama, Persatuan Pelakon Jepun (JAU) bersama komuniti pelakon suara melancarkan kempen "No More" bagi membantah penggunaan teknologi AI untuk meniru suara artis tanpa persetujuan.
Keputusan Mahkamah Daerah Tokyo dalam kes berprofil tinggi itu dijangka diumumkan pada 30 Sept.