Skip to main content

Teknologi

Pengeluaran telefon pintar global dijangka susut hampir 13% pada 2026 – IDC

61576831168_TBTELEFONBIMBIT.jpg
Purata harga jualan telefon pintar global pada 2026 dijangka meningkat 14 peratus kepada AS$523, selaras kenaikan kos memori yang dijangka hanya kembali stabil pada pertengahan 2027. -Gambar fail

PENGELUARAN telefon pintar global dijangka merosot 12.9 peratus pada 2026 kepada sekitar 1.12 bilion unit susulan krisis bekalan memori yang semakin meruncing, menurut unjuran terbaharu International Data Corporation (IDC).

IDC berkata permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI) menyebabkan harga RAM dan memori meningkat mendadak, sekali gus menekan kos pengeluaran peranti.

Advertisement

Keadaan itu mendorong pengeluar menaikkan harga, manakala permintaan untuk peranti pada harga lebih tinggi dijangka menurun.

Kos komponen yang meningkat turut memaksa pengeluar menilai semula penawaran, termasuk mengurangkan spesifikasi atau mengehadkan kapasiti memori bagi model tertentu.

Segmen peranti bawah AS$100 dijangka paling terjejas berikutan margin yang semakin mengecil.

Purata harga jualan telefon pintar global pada 2026 dijangka meningkat 14 peratus kepada AS$523, selaras kenaikan kos memori yang dijangka hanya kembali stabil pada pertengahan 2027.

IDC juga mengunjurkan pasaran akan pulih secara beransur-ansur mulai 2027 dengan pertumbuhan dua peratus, diikuti 5.2 peratus pada 2028, namun tidak kembali ke paras sebelum 2025.

Dalam pada itu, siri Samsung Galaxy S26 yang dilancarkan semalam menyaksikan peningkatan harga sehingga RM600 berbanding generasi sebelumnya, selain menawarkan pilihan storan lebih kecil.

Trend ini dijangka berterusan tahun ini berikutan pengeluar lebih berhati‑hati mengurus inventori RAM bagi model baharu.

Must Watch Video