Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman berpendapat cadangan membangunkan pusat data di angkasa seperti yang diketengahkan Elon Musk melalui SpaceX masih terlalu awal untuk direalisasikan pada dekad ini.
Altman berkata terdapat pelbagai kekangan yang bakal menghalang kejayaan projek berkenaan, termasuk kos pelancaran ke angkasa serta perbelanjaan, selain kesukaran penyelenggaraan di luar orbit bumi.
Advertisement
Menurut beliau, pusat data di bumi sendiri memerlukan proses naik taraf dan penyelenggaraan yang kompleks, dan jika berada di angkasa, tahap kesukarannya akan berganda.
Bagaimanapun, Altman tidak menolak kemungkinan teknologi tersebut dapat direalisasikan pada masa hadapan.
Katanya, angkasa mempunyai potensi untuk sejumlah aplikasi, namun bagi pembangunan pusat data, masanya masih belum sesuai.
Kenyataan itu dibuat ketika menghadiri sebuah acara di India.
Terdahulu, Elon Musk telah menyatukan SpaceX dan xAI sebagai langkah awal merealisasikan pusat data di angkasa. Selain itu, Google turut menyatakan minat untuk membina pusat data di orbit seawal 2027. - Amanz