Skip to main content

Teknologi

Saintis China cipta bateri nuklear kompak mampu bertahan ribuan tahun

Sumber: AMANZ
Bateri berisipadu 16.8 sentimeter padu ini menggabungkan isotop karbon-14 dan bahan silikon karbida untuk menjana elektrik. -Foto Amanz
Advertisement

BEIJING: Saintis di China berjaya mencipta penanda aras baharu dalam teknologi aeroangkasa dan perubatan menerusi pembangunan bateri nuklear kompak, lapor Amanz.

Dijana oleh isotop karbon-14 yang mempunyai separuh hayat mencecah 5,730 tahun, bateri ini berupaya membekalkan tenaga secara berterusan selama ribuan tahun.

Teknologi bernama Qianjiyuan Tianshu ini dibangunkan melalui kerjasama di antara Universiti Northwest Normal dan Gansu Zhulong Technology.

Inovasi ini berpotensi besar mengurangkan kebergantungan peranti kritikal kepada kaedah pengecasan semula konvensional.

Bateri berisipadu 16.8 sentimeter padu ini menggabungkan isotop karbon-14 dan bahan silikon karbida untuk menjana elektrik.

Sistem tersebut menyalurkan zarah beta daripada pereputan radioaktif karbon-14 beraktiviti 129 milicurie ke dalam semikonduktor silikon karbida.

Proses ini merangsang penghasilan elektron yang menghasilkan arus litar pintas 0.713 mikroampere (µA) serta voltan litar terbuka 2.06 V.

Model Qianjiyuan Tianshu merupakan versi naik taraf daripada prototaip terdahulu, Zhulong-1, yang diperkenalkan pada November 2024.

Sebelum ini, bateri nuklear merupakan sumber tenaga utama bagi misi angkasa lepas jarak jauh, termasuk prob Voyager 1 dan Voyager 2 milik Amerika Syarikat.

China juga menggunakan teknologi serupa dalam misi penerokaan bulan mereka.

Walau bagaimanapun, saiz bateri generasi baharu yang lebih kecil ini membuka ruang kepada penggunaan komersial yang lebih meluas.

Penyelidik kini menyasarkan aplikasinya dalam bidang perubatan, khususnya implan seperti alat perentak jantung bagi mengelakkan keperluan pembedahan berkala untuk menukar bateri.

Selain itu, teknologi ini berpotensi besar untuk operasi pemantauan jangka panjang di laut dalam, stesen penyelidikan kutub, sistem pertahanan, serta aplikasi aeroangkasa yang memerlukan bekalan kuasa tanpa henti.

 

Must Watch Video

Advertisement