Skip to main content

Teknologi

Samsung lancar Galaxy S26 diperkasa AI paling intuitif, tetapkan piawaian baharu telefon pintar

S26 TB
Samsung membuka pra-tempahan siri Galaxy S26 sehingga 10 Mac dengan tawaran bernilai sehingga RM1,900. - Gambar Samsung

KUALA LUMPUR: Samsung memperkenalkan siri Galaxy S26 sebagai generasi terbaharu telefon pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan sebagai pengalaman Galaxy AI paling intuitif, proaktif dan adaptif setakat ini.

Dilancarkan secara global di San Francisco, siri ini hadir dalam tiga varian Galaxy S26, S26+ dan S26 Ultra dengan tumpuan kepada integrasi menyeluruh antara prestasi tinggi, sistem kamera termaju dan keselamatan berlapis dalam era AI.

Advertisement

Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim berkata Galaxy S26 menetapkan piawaian baharu bagi telefon AI dengan mengubah cara pengguna berinteraksi dengan peranti mereka.

“Dengan Galaxy S26 dan Galaxy AI, kami menetapkan piawaian baharu untuk telefon AI. Apa yang sebelum ini perlu anda lakukan sendiri, kini telefon melakukannya untuk anda.

“Galaxy S26 mampu memahami konteks, mengendalikan tugasan secara senyap di latar belakang, serta tampil memberikan bantuan yang tepat pada masa yang sesuai tanpa anda perlu sentiasa memberitahunya apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan baharu ini mengalihkan fokus daripada aplikasi dan langkah manual kepada hasil akhir, dengan Galaxy AI bertindak seperti pembantu peribadi yang menyesuaikan diri mengikut konteks pengguna agar kekal produktif dan fokus.

Prestasi paling ketara dapat dilihat pada Galaxy S26 Ultra yang dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform for Galaxy, menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 19 peratus, NPU 39 peratus dan GPU 24 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Samsung turut memperkenalkan sistem pengurusan haba baharu melalui reka bentuk Vapor Chamber yang dipertingkat bagi memastikan prestasi kekal stabil ketika tugasan berat seperti permainan, multitugas dan rakaman video.

Model Ultra juga menjadi telefon pintar pertama di dunia yang menampilkan built-in Privacy Display, teknologi paparan terbina dalam pada tahap piksel yang mengehadkan sudut pandangan sisi tanpa menjejaskan pengalaman visual pengguna.

Dari segi fotografi, Galaxy S26 Ultra menawarkan apertur kamera lebih luas bagi meningkatkan tangkapan cahaya rendah, selain fungsi Nightography Video dan Super Steady yang dipertingkat untuk rakaman lebih stabil dalam persekitaran mencabar.

Siri ini turut memperkenalkan sokongan codec video profesional baharu APV untuk aliran kerja produksi berkualiti tinggi, selain peningkatan AI ISP yang menghasilkan tona kulit lebih semula jadi terutama pada kamera swafoto.

Charles Kim berkata keseluruhan siri Galaxy S26 direka supaya fungsi intuitif dan prestasi beroperasi secara lancar sebagai satu sistem menyeluruh.

“Siri Galaxy S26 direka supaya fungsi intuitif dan prestasi beroperasi secara lancar sebagai satu sistem yang menyeluruh. Galaxy AI memberi tumpuan untuk menjadikan setiap tugasan lebih baik dan mudah dilaksanakan, khususnya dari segi visual dan produktiviti.

“Kamera yang dipertingkat bersama ciri berkuasa AI seperti Photo Assist dan Creative Studio memudahkan sesiapa sahaja merakam, menyunting dan berkongsi kandungan berkualiti. Sementara itu, alat seperti Document Scan membantu menyusun tangkap layar serta membersihkan dokumen yang diimbas secara automatik,” tambahnya.

Antara ciri AI baharu termasuk Now Nudge dan Now Brief yang memberikan cadangan serta peringatan secara proaktif berdasarkan konteks pengguna, selain Circle to Search dengan Google yang dipertingkat untuk pengecaman pelbagai objek dalam satu imej.

Galaxy S26 juga menyokong pengalaman AI berasaskan agen melalui integrasi Bixby yang dipertingkat, selain pilihan agen lain seperti Gemini dan Perplexity bagi melaksanakan tugasan berbilang langkah secara lebih lancar melalui arahan suara.

Dari aspek keselamatan, Samsung memperkukuh perlindungan melalui Samsung Knox, Knox Matrix dan inovasi kriptografi pasca-kuantum, selain ciri Private Album yang membolehkan pengguna menyembunyikan kandungan secara selamat dalam aplikasi Gallery.

Bagi pasaran Malaysia, Samsung membuka pra-tempahan siri Galaxy S26 sehingga 10 Mac dengan tawaran bernilai sehingga RM1,900.

Pelanggan boleh menikmati naik taraf storan berganda bernilai sehingga RM800, selain penjimatan sehingga RM400 apabila menebus Samsung Rewards Points melalui Samsung Online Store dan aplikasi Shop.

Pembelian menggunakan kad kredit terpilih daripada CIMB, Maybank dan RHB turut melayakkan pelanggan menerima rebat sehingga RM700.

Sebagai pelengkap kepada peranti baharu mereka, Samsung turut menawarkan diskaun sehingga 10 peratus bagi pembelian terpilih Galaxy Tab, Galaxy Watch dan Galaxy Buds dalam transaksi yang sama.

Must Watch Video